Khamis, 14 November 2019 | 6:47pm
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Tindakan FAA tidak jejaskan TMM2020

KUALA LUMPUR: Tindakan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) menurunkan taraf ruang udara Malaysia tidak banyak memberi kesan terhadap kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata kesannya terhad kepada syarikat penerbangan yang mempunyai perjanjian perkongsian kod dengan syarikat penerbangan di AS.

“Saya mengakui akan ada kesan secara tidak langsung terhadap kedatangan pelancong asing berikutan tindakan FAA menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia ke Kategori 2 Isnin lalu.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan oleh beberapa syarikat penerbangan bahawa tindakan terbabit tidak banyak memberi kesan melainkan ada perjanjian perkongsian kod,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Reezal Merican Naina (BN-Kepala Batas) di Dewan Rakyat, hari ini.

Muhammad Bakhtiar berkata, sekitar 90 peratus pelancong ke negara ini adalah dari negara serantau, bukannya AS atau Eropah, dan kementeriannya yakin dapat mencapai sasaran menarik 30 juta pelancong dengan unjuran pendapatan RM100 bilion tahun depan.

Bakhtiar memaklumkan, perbelanjaan oleh pelancong meningkat 6.8 peratus kepada RM41.69 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding RM39 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, yang mana 35.3 peratus perbelanjaan pelancong adalah dalam industri peruncitan.

Terdahulu, menjawab soalan asal Yamani Hafez Musa (PH-Sipitang), Bakhtiar berkata, sektor pelancongan menyumbang RM220.6 bilion atau 15.2 peratus kepada Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018 berbanding RM200.4 bilion atau 14.6 peratus pada 2017 selain mewujudkan 3.5 juta peluang kerja.

Berita Harian X