Khamis, 14 November 2019 | 5:14pm
PEGUAM Negara, Tommy Thomas pada Forum Awam Malaysia dan Statut Rom di Universiti Malaya. - Foto Rosela Ismail

Tinjauan mesra pada pilihan raya tak perlukan permit - Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas hari ini menjelaskan bahawa kempen dari rumah ke rumah dan secara tinjauan mesra oleh calon dan jentera parti politik tidak memerlukan permohonan permit polis.

Katanya, peruntukan mengenai keperluan permit itu yang dinyatakan mengikut Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihanraya adalah tidak jelas.

“Dalam hal ini, peruntukan ini tidak secara jelas merujuk kepada kempen bergerak dari rumah ke rumah. Perkataan digunakan dalam peruntukan itu juga tidak boleh sama sekali ditafsirkan sebagai kempen dari rumah ke rumah dan tinjauan mesra.

“Mengikut amalan sejak tahun 1955, kaedah ini yang paling popular digunakan untuk merayu undi oleh calon dan parti bertanding tanpa memerlukan permit,” katanya.

Thomas berkata, mengundi adalah hak asasi yang jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan aktiviti berkempen bagi tujuan pilihan raya adalah penting dalam sistem demokrasi berparlimen.

“Sejak tahun 1955, 14 pilihan raya umum selain ratusan pilihan raya kecil diadakan bagi membolehkan pengundi memilih ahli parlimen dan wakil rakyat mereka,” katanya.

Pada Selasa, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata polis menetapkan bahawa semua parti dan calon bertanding dalam pilihan raya kecil perlu mendapat permit untuk berkempen dari rumah ke rumah.

Beliau berkata, polis juga menetapkan bahawa program tinjauan mesra, yang dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai had masa dan lokasi yang jelas untuk tujuan pemantauan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata permit akan memudahkan pemantauan, untuk memastikan perkara berkaitan keselamatan awam diberikan keutamaan, dan untuk mengelak kejadian provokasi dan pergaduhan antara parti yang bertanding.

Peraturan itu dikatakan kali pertama dikeluarkan SPR ketika tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin meminta polis lebih bertimbang rasa dengan tidak mewajibkan permohonan permit bagi kempen dari rumah ke rumah serta tinjauan mesra sempena PRK Parlimen Tanjung Piai.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, menyangkal dakwaan bahawa SPR mengenakan syarat perlu mendapatkan permit untuk program tinjauan mesra pada pertengahan kempen bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, sebaliknya peraturan itu sudah dimaklumkan sebelum kempen bermula.

Katanya, bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, keperluan permohonan permit kempen pilihan raya dinyatakan bermula daripada Mesyuarat Penyelarasan Pegawai Pengurus dan Ejen Pilihan Raya bagi calon atau parti bertanding yang diadakan sebaik selesai proses penamaan calon pada 2 November lalu.

“Penerangan oleh pihak PDRM semasa mesyuarat jelas menyatakan semua bentuk kempen pilihan raya hendaklah mendapat permit kempen pilihan raya daripada PDRM.

“Setiap calon atau parti bertanding sudah dimaklumkan untuk menyatakan jenis program atau kegiatan secara jelas dalam ruangan Borang Permohonan Permit Kempen Pilihan Raya yang disediakan oleh PDRM,” katanya di Dewan Rakyat.

Vui Keong berkata, sebanyak 42 permit kempen ‘walkabout’ atau tinjauan mesra diluluskan PDRM pada hari pertama pengumuman penamaan calon bagi PRK Parlimen Tanjung Piai.

Hingga semalam, parti politik atau calon bebas yang bertanding bagi PRK Parlimen Tanjung Piai memohon 562 permit termasuk 101 permit permohonan untuk kempen tinjauan mesra membabitkan semua calon atau parti.

“Justeru, permohonan permit untuk walkabout bagi PRK bukanlah perkara baharu,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang mahukan penjelasan sama ada arahan supaya calon perlu mendapatkan permit sebelum berkempen secara walkabout dikeluarkan dengan niat jahat atau malafide kerana dimaklumkan pada pertengahan kempen PRK Tanjung Piai.

Sementara itu ketika dihubungi BH, Azhar Azizan berkata, beliau yakin polis akan mematuhi nasihat Peguam Negara berhubung keperluan permit polis bagi tujuan kempen pilihan raya dari rumah ke rumah dan secara tinjauan mesra.

“Saya mengalu-alukan nasihat itu. Sebagai penasihat undang-undang ulung kepada kerajaan, saya percaya polis tentunya akan mematuhi nasihat itu,” katanya.

Azhar Azizan turut menegaskan peruntukan dalam Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 adalah dalam bidang kuasa polis, bukan SPR.

Beliau berkata, dakwaan pembangkang kononnya SPR sengaja membangkitkan keperluan mendapatkan permit polis untuk kempen dari rumah ke rumah adalah tidak benar.

“Peraturan itu ditetapkan oleh polis. Saya takkan buat perkara di luar bidang kuasa SPR tetapi pembangkang mendakwa saya yang perkenalkan,” katanya.

Berita Harian X