Khamis, 14 November 2019 | 5:08pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong (tengah) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Sidang Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Polis mampu selaras permit kempen pilihan raya - Vui Keong

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin dengan kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelaras permohonan permit kempen dari rumah ke rumah semasa pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sekarang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata pihak polis akan meneliti semua aspek, terutama berkaitan keselamatan dan kepentingan semua pihak.

Katanya, syarat ditetapkan berkaitan permit kempen pilihan raya bergantung kepada keadaan dan keperluan semasa pilihan raya bagi memastikan proses kempen berjalan dengan lancar, teratur dan terkawal.

Beliau berkata, bagi PRK Parlimen Tanjung Piai, keperluan permohonan permit kempen pilihan raya dinyatakan bermula daripada

Mesyuarat Penyelarasan Pegawai Pengurus dan Ejen Pilihan Raya bagi calon atau parti bertanding yang diadakan sebaik selesai proses penamaan calon pada 2 November lalu.

“Penerangan oleh pihak PDRM semasa mesyuarat jelas menyatakan semua bentuk kempen pilihan raya hendaklah mendapat permit kempen pilihan raya daripada PDRM.

“Setiap calon atau parti bertanding sudah dimaklumkan untuk menyatakan jenis program atau kegiatan secara jelas dalam ruangan Borang Permohonan Permit Kempen Pilihan Raya yang disediakan oleh PDRM,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang mahukan penjelasan sama ada arahan calon perlu mendapatkan permit sebelum berkempen secara ‘walkabout’ (tinjauan mesra) dikeluarkan dengan niat jahat atau ’mala fide’ kerana dimaklumkan pada pertengahan kempen PRK Tanjung Piai.

Vui Keong berkata, 42 permit kempen ‘walkabout’ atau tinjauan mesra diluluskan PDRM pada hari pertama pengumuman penamaan calon bagi PRK Parlimen Tanjung Piai.

Katanya, sehingga semalam, parti politik atau calon bebas yang bertanding bagi PRK Parlimen Tanjung Piai memohon 562 permit, termasuk 101 permit permohonan untuk kempen tinjauan mesra membabitkan semua calon atau parti.

“Justeru, permohonan permit untuk ‘walkabout’ bagi PRK bukanlah perkara baharu ...bukan (syarat-syarat diumumkan) pada masa pertengahan kempen seperti yang dituduh Pengerang,” katanya.

Berita Harian X