Khamis, 14 November 2019 | 4:14pm
AHMAD Yakob menanam pokok Euclyptus pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa ke-48 dan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat negeri Kelantan, di Pantai Senok, Bachok. - Foto NSTP/Syamsi Suhaimi

400 pokok lagi ditanam di 'Pulau Nami Malaysia'

BACHOK: Pantai Senok di sini, yang terkenal dengan kecantikan deretan pokok rhu pantai dan kayu putih sehingga digelar 'Pulau Nami Malaysia’, terus diperindahkan dengan tambahan 400 pokok lagi hari ini.

Ia tambahan kepada 4,344 pokok rhu pantai atau Casuarina Equsetifolia dan kayu putih (Eucalyptus) yang ditanam di sepanjang pantai itu sejak 2009 di bawah Program Pemuliharaan Kawasan Pesisir Pantai negeri.

Program itu diadakan sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Ke-48 dan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Kelantan 2019, yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim dan Pengarah Perhutanan Kelantan, Mohd Radhi Chu Abdullah.

Bercakap kepada pemberita di majlis itu, Ahmad berkata 400 pokok berkenaan adalah sebahagian daripada 1,600 pokok rhu dan kayu putih yang ditanam kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia serta Jabatan Perhutanan Kelantan.

Sebanyak 1,200 pokok lagi dibahagikan kepada 12 pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Tanah dan Jajahan Lojing, Gua Musang.

Katanya, penanaman pokok itu mampu mengurangkan 43,200 kilogram karbon setahun, sekali gus membantu alam sekitar melalui pembangunan pesisir pantai.

“Kita sasarkan menanam pokok ini untuk menjadi benteng daripada hakisan pantai, tetapi lihat hasilnya tempat ini berpotensi menjadi kawasan pelancongan,” katanya.

Ahmad berkata, penanaman pokok antara inisiatif kerajaan negeri dalam memelihara alam sekitar selain mempergiat usaha mengatasi isu pencerobohan hutan dan kejayaan mewartakan hutan simpan pada Oktober lalu.

“Kita berjaya wartakan seluas 125,552.46 hektar hutan kawasan tadahan air khususnya di Gua Musang. Jadi kita minta kerjasama rakyat untuk sama-sama menjaga kebersihan dan mencegah pencerobohan hutan dengan menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa,” katanya.

Berita Harian X