Khamis, 14 November 2019 | 4:04pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Hampir 4,000 individu kena notis amaran merokok di kedai makan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengeluarkan notis amaran kepada 3,889 individu yang didapati merokok di premis kedai makan selepas diwartakan sebagai kawasan larangan merokok bermula 1 Januari lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata dalam tempoh itu, 146,607 premis makanan diperiksa di seluruh negara dan 31,422 notis amaran dikeluarkan, dengan 27,759 premis diberi amaran kerana gagal meletakkan tanda larangan merokok.

Beliau berkata, sejumlah 23,805 aduan mengenai kesalahan merokok di kedai makan sejak Januari sehingga 3

November lalu.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap perokok yang mengingkari larangan merokok di semua premis makanan akan bermula 1 Januari 2020,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai tindakan kementerian bagi mengawal penjualan vape atau rokok elektronik yang kini menjadi trend serta tarikan terutama bagi remaja dan serta status kempen larangan merokok di premis makanan.

Semua premis makanan diwartakan sebagai tempat larangan merokok bermula 1 Januari 2019, selari dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018.

Mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 mana-mana individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Mengenai vape atau rokok elektronik, Dr Dzulkefly memaklumkan tindakan penguatkuasaan dijalankan di seluruh negara pada 20 Ogos dan 31 Oktober lalu, dengan tumpuan terhadap kedai penjualan alat itu berhampiran sekolah.

Turut menjadi sasaran ialah lokasi yang menjadi akses kepada pelajar seperti kedai runcit, kedai gajet serta kedai peralatan rokok elektronik.

Pada sesi soal jawab, Dzulkefly berkata, 34,787 unit produk kesihatan tidak berdaftar dan kosmetik

tidak bernotifikasi dirampas Kementerian Kesihatan pada tahun lalu dan tahun ini, dengan nilai rampasan mencecah RM63.1 juta.

Katanya, notifikasi penurunan iklan dan sekatan ke atas laman sesawang dan platform e-dagang juga diambil bagi kosmetik serta produk kesihatan yang melanggar undang-undang.

“Bagi mengekang pengilangan dan penjualan produk kesihatan tidak berdaftar serta kosmetik tidak bernotifikasi, tindakan pemeriksaan selain operasi serbuan secara berterusan dijalankan ke atas premis pengeluar atau penjual berdasarkan pengesahan aduan yang diterima daripada orang awam.

“Syarikat atau individu yang didapati mengilang dan menjual produk kesihatan yang tidak berdaftar selain kosmetik tidak bernotifikasi akan disiasat serta didakwa di mahkamah di bawah Akta Jualan Dadah 1952,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan asal Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) mengenai langkah penguatkuasaan diambil kementerian berikutan peningkatan produk kosmetik dan kesihatan jenama buatan sendiri di pasaran sejak kebelakangan ini.

Berita Harian X