Khamis, 14 November 2019 | 4:00pm
PERDANA Menteri merangkap Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamed mengangkat tangan calon PH, Karmaine Sardini (kanan) selepas menyampaikan ucapan pada Majlis Sarapan Pagi Bersama NGO Parlimen Tanjung Piai, di Warung 800 Pekan Nenas, di Pontian. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Sikap rendah diri, prihatin Karmaine disenangi penduduk

PONTIAN: Sentiasa bersedia mendengar masalah masyarakat dan kerap membantu secara senyap.

Itu gambaran penduduk kampung kelahiran calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini, terhadap bekas imam berkenaan.

Jasni Asherap, 62, yang ditemui di rumahnya di Telok Kerang di sini, berkata dia mengenali Karmaine sejak kecil dan kagum dengan komitmen ahli perniagaan itu dalam membantu masyarakat sejak dahulu.

“Beliau antara anak kampung yang berjaya melanjutkan pengajian di universiti, seterusnya bekerja dan membuka syarikat perniagaan sendiri.

“Namun, beliau tidak pernah lupa asal usul dan kerap pulang ke kampung sejak dulu. Dia juga menggunakan pengetahuan, wang ringgit dan rangkaian kenalannya yang ramai untuk membantu orang kampung.

“Banyak projek pembangunan di kawasan ini termasuk masjid dan dewan sekolah berjaya dilaksanakan hasil usaha beliau dan Allahyarham Dr Farid (bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr Md Farid Md Rafik) mencari dana serta peruntukan.

“Bagaimanapun, beliau tidak pernah menjaja jasanya kepada orang ramai, lebih selesa merendah diri dan bergaul mesra dengan masyarakat seperti orang kampung biasa” katanya di sini.

Muhd Khuzairi Duki, 33, berkata walaupun berperwatakan sederhana, Karmaine yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Tanjung Piai, dikenali sebagai pemimpin masyarakat yang dihormati.

“Beliau dihormati orang muda dan tua, kerap meluangkan masa mengambil tahu isu serta masalah belia di kawasan ini.

“Kami berharap beliau dapat menjadi wakil rakyat, seterusnya membantu meningkatkan pendapatan serta menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi penduduk di kawasan ini,” katanya.

Jiran Karmaine sejak kecil, Pahmi Abdun, 74, berkata walaupun menempa kejayaan dalam perniagaan, rakannya itu tidak pentingkan diri, sebaliknya sentiasa berusaha membantu masyarakat.

“Beliau gunakan platform sebagai Ketua BERSATU Tanjung Piai, seterusnya bekerjasama rapat dengan Allahyarham Dr Farid yang juga timbalannya untuk membantu orang ramai serta membangunkan kawasan ini.

“Selain rapat dengan masyarakat Melayu, beliau juga disenangi orang Cina. Malah, rakan kongsi perniagaannya adalah orang Cina,” katanya.

Berita Harian X