Khamis, 14 November 2019 | 3:25pm

Penjawat awam pemandu utama WKB 2030

KUALA LUMPUR: Penjawat awam memainkan peranan penting sebagai pemangkin kejayaan merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Justeru, penjawat awam perlu memenuhi dua kriteria utama bagi menjayakan wawasan terbabit iaitu keberkesanan penyampaian institusi serta tadbir urus dan integriti.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menjelaskan kelemahan penyampaian akan membuka ruang kepada wujudnya persepsi negatif dalam kalangan rakyat mencetuskan kritikan terhadap kerajaan.

“Penjawat awam mempunyai peranan yang signifikan untuk menterjemahkan wawasan ini kepada realiti yang menjamin kemakmuran untuk semua.

“Berdasarkan prestasi penjawat awam dalam menjayakan dasar negara, saya yakin penjawat awam secara kolektif akan menggalas cabaran baharu dan merealisasikan aspirasi rakyat yang mahukan sebuah negara maju, makmur, bermaruah serta dihormati oleh masyarakat dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Forum Menteri Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen.

Mohamed Azmin berkata, WKB 2030 bukan sekadar wacana atau strategi, ia adalah perancangan yang perlu diterjemahkan kepada tindakan dan penyampaian yang berkesan kepada rakyat.

“Untuk mencapai maksud ini, setiap jabatan dan agensi di bawah kementerian perlu menjajarkan program dan inisiatif, menjurus bagi menjayakan objektif WKB 2030.

“Setiap kementerian perlu bersedia untuk mendakap teknologi baharu kerana kita perlu sedar bahawa penggunaan teknologi ini akan meningkatkan keberkesanan dalam penyampaian dan dapat meningkatkan produktiviti serta hasil untuk negara,” katanya.

MOHAMED Azmin Ali beramah mesra bersama peserta ketika hadir bagi menyampaikan ucaptama mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) sempena ‘INTAN Ministerial Forum Series 2019’, di Dewan Sri Baiduri, INTAN Bukit Kiara, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X