Khamis, 14 November 2019 | 11:11am

SPR minta pengundi Tanjung Piai tunai tanggungjawab Sabtu ini

KUALA LUMPUR: Seramai 52,698 daripada 52,986 pengundi biasa layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Sabtu ini.

Daripada jumlah itu, seramai 227 orang mengundi secara pos.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun, dalam kenyataan hari ini meminta pengundi keluar melaksanakan tanggungjawab dan merancang masa dengan keluar awal pagi serta tidak mengundi pada saat-saat akhir.

Waktu mengundi ditetapkan dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

Pengundi yang sudah menerima Kad Pengundi atau yang telah mengetahui maklumat pengundian, boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR.

Bagi pengundi yang tidak menerima Kad Pengundi kerana kemungkinan berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian, disaran membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.

Semakan boleh dibuat melalui saluran-saluran berikut:

a) Portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my;

b) Aplikasi MySPR Semak;

c) Hotline SPR di talian 03-8892 7018; atau

d) SMS ke 15888 (taip SPRSEMAKNO. KAD PENGENALAN)

Ketika membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

Beliau juga mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan dan Kad Pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Kad Pengundi dan catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

“Pengundi juga dinasihatkan tidak menyerahkan kad pengenalan kepada mana-mana pihak selain daripada petugas pilihan raya,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X