PONTIAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, disambut meriah apabila tiba pada Program Sarapan Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Tanjung Piai di Pekan Nanas di sini, hari ini.
Beliau yang hadir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, turut diiringi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar yang juga Pengarah Jentera PH Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan calon PH bagi PRK itu, Karmaine Sardini.
Program berkenaan yang dihadiri lebih 300 wakil NGO tempatan diatur bagi mendekati masyarakat sempena kehadiran Dr Mahathir bagi membantu kempen PH pada PRK berkenaan sejak semalam.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan wakil NGO sebelum Dr Mahathir dijemput menyampaikan ucapannya.
Dr Mahathir menyatakan kegembiraannya melihat kawasan itu sudah banyak membangun berbanding kunjungan terakhirnya puluhan tahun lalu selain hubungan mesra antara pelbagai kaum yang hidup bersama dalam keadaan harmoni.