Khamis, 14 November 2019 | 12:08am
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Masyarakat Tanjung Piai akan rugi jika tak pilih calon PH - Tun M

PONTIAN: Masyarakat tempatan akan rugi jika tidak mengundi calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai semata-mata kerana marah terhadap kerajaan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkata calon PH, Karmaine Sardini, mampu memberi khidmat terbaik termasuk membawa pembangunan melalui peruntukan kerajaan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad bersama orang ramai selepas menyampaikan amanatnya di Ceramah Perdana PH sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Pekan Kukup malam ini. - Foto BERNAMA

“Jangan disebabkan marah kononnya percaya kerajaan tidak membuat perkara baik sedangkan tuduhan itu tidak berasas, kita tidak mahu undi calon PH.

“Kalau sebab nak marah, kita tolak calon yang boleh berkhidmat, kita yang akan rugi. Hanya kerajaan sahaja boleh beri bantuan kepada rakyat, jadi pengundi perlu pilih calon PH demi kebaikan bersama,” katanya ketika berucap pada ceramah perdana PH di Kukup Laut di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail dan calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Ceramah Perdana PH sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai di Kukup malam ini. - Foto BERNAMA

Dr Mahathir juga berkata, barisan Kabinet kerajaan PH sudah semakin cekap menguruskan negara selepas setahun setengah mengambil alih pentadbiran daripada Barisan Nasional (BN).

Banyak pihak percaya kerajaan PH akan gagal mentadbir, namun keamanan yang dinikmati negara hingga kini selain tiada rusuhan berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah bukti kejayaan kerajaan PH.

“Rakyat pasti memberontak dengan berdemonstrasi setiap hari jika kerajaan PH tidak jalankan tugas dengan baik, tetapi itu tidak berlaku,” katanya.

Terdahulu Dr Mahathir mengadakan perjumpaan tertutup dengan semua 27 ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) PH petang tadi.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine; calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan Wendy Subramaniam (GERAKAN).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH),Tun Dr Mahathir Mohamad bersama orang ramai pada Ceramah Perdana PH sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai di Pekan Kukup malam ini. - Foto BERNAMA

Turut bertanding, Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz serta dua calon bebas iaitu pengasas pusat tuisyen, Dr Ang Chuan Lock dan ahli perniagaan, Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandang, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRU-14 Mei tahun lalu, Allahyarham Dr Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

PRK Tanjung Piai adalah pilihan raya yang kesembilan diadakan sejak PH menang PRU-14.

Berita Harian X