Rabu, 13 November 2019 | 10:59pm
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Surat terbuka Dr M kepada pengundi Tanjung Piai

PONTIAN: Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar politik perkauman yang boleh mengakibatkan tercetus rasa tidak puas hati sehingga menggugat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Ceramah Perdana PH sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai di Pekan Kukup malam ini. - Foto BERNAMA

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, ia berbeza dengan kepercayaan kerajaan yang percaya kepada kesederhanaan dalam cara berpolitik.

Sebahagian orang ramai yang hadir ke Program Ceramah Mega Harapan di Kukup, Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Sehubungan itu katanya, rakyat perlu memperlihatkan bahawa mereka tidak terpengaruh dengan politik sempit itu untuk kepentingan segelintir pihak.

“Kerajaan ini percaya kepada kesederhanaan di dalam cara berpolitiknya. Terdapat usaha melaga-laga rakyat.

“Apabila berdepan dengan orang Melayu, mereka menuduh kerajaan ini walaupun dipimpin oleh orang Melayu menggadai segala-galanya kepada orang bukan Melayu.

“Apabila mereka menemui orang bukan Melayu mereka menghasut bahawa

pemimpin bukan Melayu di dalam kerajaan sudah hilang perjuangan mereka kerana menjaga kedudukan.

“Akibatnya, orang Melayu merasa masa depan mereka tidak terjamin dengan kerajaan ini. Di masa yang sama orang bukan Melayu turut tidak puas hati dengan ahli-ahli kerajaan bukan Melayu kerana dituduh membelakangkan kepentingan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam surat terbuka kepada pengundi sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, pada Ceramah Perdana PH, di Kukup, di sini, malam ini.

Surat terbuka itu diedarkan kepada orang ramai dan media yang hadir pada majlis ceramah berkenaan.

Sebahagian orang ramai yang hadir ke Program Ceramah Mega Harapan di Kukup, Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Dr Mahathir berkata, dua perkara itu tidak boleh berlaku di dalam satu masa yang sama dengan kerajaan yang sama.

Katanya, jika orang Melayu merasa bahawa kerajaan gagal mempertahankan kepentingan Melayu, maka orang bukan Melayu seharusnya rasa puas hati.

“Dan jika orang bukan Melayu merasa tidak puas hati dengan kerajaan ini kerana dikatakan tidak mempertahankan kepentingan mereka, seharusnya orang Melayu merasa puas kerana mendapat kehendak mereka.

“Ini berlaku kerana kerajaan ini bertindak di atas dasar konsensus apabila melakukan keputusan. Ini bermakna setiap kepentingan rakyat diambil kira sebelum sesuatu keputusan dibuat.

“Apabila kita membuat keputusan dengan cara yang demikian, setiap kaum dan kumpulan tidak merasa puas hati sepenuhnya.

“Bagi saya ini adalah lebih baik dari satu pihak merasa begitu puas hati dan pihak yang lain akan merasa begitu tidak puas hati,” katanya

Dr Mahathir berkata, pentadbiran kerajaan PH yang memasuki usia 18 bulan melalui satu tempoh sukar untuk mengembalikan negara ke atas landasan yang betul dan memperbaiki kerosakan lalu yang begitu teruk.

“Memang benar kita tidak boleh selalu menyalahkan kerajaan terdahulu di dalam usaha memajukan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat.

“Di masa yang sama sudah pasti rakyat yang mengikuti perkembangan kes di mahkamah akan menyedari bahawa kerosakan yang berlaku akibat perbuatan rasuah dan salah guna kuasa hampir menjahanamkan negara,” katanya.

Menteri Besar Johor merangkap Pengarah Pilihanraya PRK Tanjung Piai, Datuk Dr Sahruddin Jamal berucap ketika Program Ceramah Mega Harapan di Kukup, Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Sehubungan itu Dr Mahathir berkata satu keutamaan kerajaan ialah mengambil langkah jelas dan tegas untuk memastikan perbuatan seumpama itu tidak berulang dan pemimpin negara tidak berpeluang mencari kemewahan diri tanpa rasa takut akan hukuman yang menanti.

Katanya, selain dari fokus kepada langkah mengekang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa, kerajaan turut menumpu kepada memulih ekonomi negara.

Selain meneruskan rancangan Malaysia, kerajaan turut memperkenal strategi jangka pendek dan jangka panjang termasuklah Wawasan Kemakmuran Bersama yang diyakini dapat mengurangkan jurang pendapatan antara kaum, daerah dan wilayah.

“Perancangan ini mengambil sedikit masa tetapi rakyat akan mula merasai nikmat tidak lama lagi.

“Saya percaya, jika rakyat menilai dengan baik, sudah pasti mereka dapat melihat dan merasai nikmat yang datang walaupun secara beransur-ansur.

“Selain itu, mereka juga pasti dapat melihat betapa pemimpin dari parti kerajaan sekarang berserta isteri mereka tidak bermewah-mewah dengan harta rakyat,” katanya

Berita Harian X