Rabu, 13 November 2019 | 5:32pm
PERDANA Menteri merangkap Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamed bersalaman dengan ahli ketika menghadiri majlis Perjumpaan Bersama Ketua-ketua PDM Pakatan Harapan di Pontian. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Dr M sertai kempen di Tanjung Piai

PONTIAN: Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, dengan mengadakan perjumpaan dengan semua 27 ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pakatan Harapan (PH), hari ini.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), dijadualkan menyertai Ceramah Mega PH, di tapak Terminal Bas, Kukup, dekat sini, malam ini.

Esok, Dr Mahathir akan menyertai program sarapan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di Pekan Nanas.

Beliau dijangka menghadiri dialog bersama penjawat awam Johor mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di Senai, dekat sini, sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon PH, Karmaine Sardini; calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan Wendy Subramaniam (GERAKAN).

Turut bertanding, Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz dan dua calon Bebas iaitu pengasas pusat tuisyen, Dr Ang Chuan Lock dan ahli perniagaan, Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Ia diadakan susulan kematian penyandang Ahli Parlimen berkenaan, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, Allahyarham Dr Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

PRK Tanjung Piai ini adalah pilihan raya kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14 pada Mei tahun lalu.

Berita Harian X