Rabu, 13 November 2019 | 4:51pm
HARRY Tan Huat Hock
HARRY Tan Huat Hock

NUTP mohon KPM dikecuali sekat tambah kakitangan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memohon Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut dikecualikan daripada dikenakan sekatan penambahan kakitangan kerajaan.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, berkata perkara itu susulan kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, semalam yang berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikecualikan daripada dikenakan sekatan berkenaan.

“Pengecualian sekatan itu seharusnya turut diberikan kepada KPM dan NUTP tidak akan berkompromi terhadap perkara itu.

“Ini kerana KPM adalah sebuah kementerian yang melestarikan sistem pendidikan berkualiti atau lebih tepat untuk mewujudkan kemenjadian murid,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya, NUTP berpendapat KPM memerlukan lebih ramai kakitangan bagi melaksanakan misi dan visi kementerian.

“Masyarakat sedia maklum tugas dan fokus utama seorang guru, pendidik atau tenaga pengajar adalah untuk mengajar dan mendidik anak bangsa.

“Bagaimanapun, mereka masih dibebani dengan kerja yang tidak relevan, contohnya terpaksa melaksanakan tugas perkeranian, menjadi warden asrama dan sebagainya,” katanya.

Huat Hock berkata, ada di antara isu itu boleh diselesaikan dengan melantik pembantu guru atau PT Rintis, mewujudkan jawatan warden asrama dan menyerap anggota kumpulan pelaksana (AKP) ke jawatan tetap.

Beliau berkata, pengecualian daripada sekatan penambahan kakitangan kerajaan itu wajar demi mencapai agenda berterusan dalam gelombang transformasi pendidikan.

Berita Harian X