Selasa, 12 November 2019 | 2:19pm
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berucap ketika hadir untuk merasmikan Program Perkongsian Inovasi Vendor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - NSTP/Supian Ahmad

MED sasar enam syarikat induk baharu sertai VIPP

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menyasarkan enam syarikat induk baharu bagi memperkasakan kerjasama strategik menerusi Program Perkongsian Inovasi Vendor (VIPP).

VIPP menyediakan platform kepada syarikat induk dan vendor mengembangkan perniagaan secara ‘cross-cutting’ bagi menembusi pasaran industri berpertumbuhan tinggi.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Hatta Ramli, berkata program berkenaan merangsang dasar pembangunan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) yang menyumbang sehingga 50 peratus kepada perolehan kerajaan.

“Dari segi pembangunan, kita bergantung kepada enam syarikat induk baharu yang dijangka terbabit dan disasarkan menyertai program ini.

“Setiap syarikat ini akan ada syarikat vendor baharu yang ditambah. Kita juga akan tentukan sasaran untuk menambah lagi syarikat (vendor) ini nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan VIPP di sini, hari ini.

Penganjuran VIPP menampilkan beberapa segmen menarik seperti sesi perkongsian amalan terbaik perniagaan dan teknologi terkini Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) oleh 21 ikon usahawan dalam dan luar negara serta klinik kewangan.

Program ini turut mempamerkan 16 pavilion oleh syarikat induk dan syarikat induk berpotensi serta 12 kios pameran oleh agensi teknikal dan institusi kewangan.

Program VIPP menyasarkan kehadiran 5,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.

Selain itu, 500 sesi padanan perniagaan diaturkan bagi memberi peluang vendor meneroka peluang perniagaan baharu dan mengembangkan perniagaan ke sektor lain bagi meningkatkan kebolehupayaan syarikat khususnya dalam industri berimpak tinggi.

Pada majlis itu juga Mohd Hatta turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara SME Bank dan Celcom Axiata Berhad yang mengiktiraf SME Bank sebagai institusi pembiayaan utama menyokong Program Pembangunan Vendor Celcom Axiata 2.0.

MoU ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail.

Hatta berkata, Program Pembangunan Vendor (PPV) MED menggalakkan vendor meneroka industri berpertumbuhan tinggi, meningkatkan bekalan perkhidmatan dan produk secara rentas industri, selain menembusi pasaran baharu.

“Setakat ini, 21 syarikat induk dan 1,228 syarikat vendor berada di bawah PPV MED. Melalui VIPP ini, MED berharap ia dapat menarik lebih banyak penyertaan syarikat induk dan vendor dari pelbagai industri untuk memperkasakan PPV sebagai satu daripada platform pembangunan keusahawanan selaras aspirasi Dasar Keusahawanan Negara 2030 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Berita Harian X