Selasa, 12 November 2019 | 8:29am

Pengundian awal PRK Parlimen Tanjung Piai hari ini

PONTIAN: Dua saluran mengundi di Bangunan Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian di sini dibuka pada 8 pagi tadi bagi membolehkan 280 pengundi awal membabitkan anggota polis, menunaikan hak mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Pusat Pengundian Awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas (Saluran 1) dibuka mulai 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala bagi DUN Kukup (Saluran 2), waktu pengundian dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang.

Proses pengundian awal disaksikan ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR turut menyiarkan proses pengundian berkenaan secara langsung atau ‘live streaming’ menerusi Facebook SPR.

Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis.

Pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian 16 November ini, di pusat pengiraan undi berkelompok di Pejabat Daerah Pontian dan akan disaksikan oleh ejen calon yang bertanding serta pemerhati pilihan raya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Pakatan Harapan (PH) pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pertandingan enam penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; calon GERAKAN Wendy Subramaniam; Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai 52,986 pengundi yang terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan pengundi tidak hadir luar negara. – BERNAMA

ANGGOTA polis mengawal di perkarangan dewan pada hari pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian. - Foto Hairul Anuar Rahim

Berita Harian X