Isnin, 11 November 2019 | 8:24pm

Kerajaan sedia kaji syor tubuh badan kawal selia industri muzik - PM

PUTRAJAYA: Kerajaan sedia mengkaji cadangan penubuhan sebuah badan kawal selia bagi melindungi kepentingan penggiat muzik tanah air seperti fungsi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi industri filem.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata penggiat muzik akan menentukan sendiri fungsi serta bentuk organisasi berkenaan yang juga boleh melindungi mereka daripada penyangak seni yang mengambil kesempatan dalam isu bayaran hak cipta dan royalti.

Katanya, beliau sering tertanya-tanya bagaimana seorang penyanyi dapat hidup sempurna, sedangkan tidak nampak bidang berkenaan boleh memberi pendapatan tinggi seperti nasib yang menimpa Allahyarham P Ramlee.

“Saya anggap dia (P Ramlee) genius, dia buat segala-galanya, tulis lirik, cipta lagu, main peralatan muzik, buat gambar (filem), namun pada akhirnya dia meninggal sebagai seorang miskin. Hari ini, lagunya dinyanyikan semua orang, tapi tiada royalti dibayar.

“Mungkin itu nasib penyanyi terkenal, bagi yang kurang terkenal bagaimana pula. Kita cuba untuk lindung karya mereka dengan perkenalkan undang-undang berkaitan harta intelek, tapi timbul masalah penyangak seni yang salah guna undang-undang ini untuk dapatkan royalti bagi diri mereka.

“Undang-undang ini tak mencukupi bagi beri perlindungan kepada penggiat seni. Ini akan kita kaji semula dengan sumbangan pendapat penggiat seni. Kita juga tidak ada badan seperti FINAS, kalau perlu, kita adakan untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ‘townhall’ bersama penggiat seni muzik di sini hari ini dan turut menerima cadangan penubuhan Perbadanan Muzik Malaysia yang diserahkan wakil karyawan seni, Nasir Daud.

Perdana Menteri menyarankan penggiat muzik supaya tidak hanya bergantung kepada satu punca rezeki, tetapi mempelbagaikannya termasuk perniagaan kecil-kecilan yang mungkin membolehkan mereka mendapat pendapatan lebih baik berbanding usaha seni.

“Kalau nak menyanyi saja, tapi tak dapat banyak, adakan perusahan kecil-kecilan. Contohnya, ada yang jual tudung dan sudah jadi jutawan. Ini juga yang sering kerajaan tekankan kepada golongan berpendapatan rendah seperti nelayan dan petani.

“Kita minta mereka yang tanam getah dan sawit, turut menanam sayuran atau buah-buahan bagi tambah pendapatan," katanya sambil turut menyatakan kesediaan kerajaan mengkaji semula industri seni supaya semua pihak mendapat manfaat sejajar Dasar Kemakmuran Bersama 2030.

Dr Mahathir menerima memorandum daripada pemain bass kumpulan Search, Nasir Daud (kanan) selepas Majlis Town Hall Penggiat Seni Muzik di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Dr Mahathir menerima memorandum daripada pemain bass kumpulan Search, Nasir Daud (kanan) selepas Majlis Town Hall Penggiat Seni Muzik di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X