Isnin, 11 November 2019 | 8:09pm
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Sembang Santai di Ibu Pejabat Cabang PKR Tanjung Piai hari ini. - Foto BERNAMA

'Kerajaan dengar keluhan rakyat, tak perlu undi pembangkang'

PONTIAN: Rakyat tidak perlu mengundi pembangkang semata-mata untuk memastikan kerajaan mendengar rintihan mereka.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan sentiasa mendengar masalah dikemukakan tetapi memerlukan masa untuk melaksanakan semua perancangan bagi keperluan rakyat, termasuk pelbagai rintihan yang kedengaran sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

“Pemimpin memberi maklumat mengenai keluhan yang kebanyakannya dari kalangan akar umbi berhubung beberapa isu dan kita dengar.

“Kita tidak perlu kita undi pembangkang kerana kerajaan ambil maklum keluhan petani, nelayan, pekebun kecil, penganggur, pelajar, aspek kemudahan kesihatan, pendidikan dan sebagainya.

“Keluhan rakyat kedengaran kerana kita baru ambil kuasa. Itu kita dengar, Menteri Besar juga datang dengar keluhan,” katanya pada sidang media selepas program sembang santai di Cabang PKR Tanjung Piai, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar Johor merangkap Pengarah Jentera Pakatan Harapan (PH) PRK Tanjung Piai, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh.

Anwar berkata, tumpuan diberi kepada rakyat tanpa mengira kaum dan kawasan.

Mengenai dakwaan ceramah anjuran PH kurang mendapat sambutan, Anwar berkata, ia bukan petanda sokongan berkurangan, sebaliknya orang ramai hanya mahu mengetahui isi kandungan ceramah.

“Ini bukan pertandingan ceramah siapa paling ramai, ia pertandingan isi dan pertandingan untuk meraih sokongan,” katanya.

Anwar berkata, ketika menjadi pembangkang, ceramah mereka juga dihadiri lebih ramai tetapi bukan menjadi petanda sokongan ketika itu.

Berita Harian X