Isnin, 11 November 2019 | 6:56pm
Ibu pejabat Alibaba, di Hangzhou, timur China dilimpahi cahaya menjelang kemuncak jualan 11.11. - NSTP/Luqman Arif Abdul Karim

Alibaba teroka pasaran pedalaman

HANGZHOU: Syarikat peneraju e-dagang, Alibaba Group (Alibaba) berhasrat meneroka lebih banyak peluang pasaran di kawasan pedalaman serta menggandakan usaha untuk memacu daya saing produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Pemasaran Alibaba Group, Chris Tung, berkata pendekatan itu selari pola perubahan pasaran yang menyaksikan 70 peratus pengguna baharu berasal dari kawasan kurang membangun.

Perangkaan itu sekali gus mengesahkan hasil analisis global bahawa pasaran e-dagang di pusat bandar dan kawasan pinggir kota kini semakin ‘tepu’, malah menghampiri kadar pertumbuhan tahunan yang tidak berganjak.

“Kita akan terus eksport teknologi terbaik bagi memastikan platform e-dagang di Malaysia setaraf dengan China dan bukan sekadar menyokong pertumbuhan jualan jenama ‘gergasi’.

“Sebaliknya, menerusi konteks Malaysia, Alibaba mempunyai peranan penting untuk memacu pertumbuhan PKS bagi memenuhi permintaan pasaran domestik dan melonjak daya saing mereka di peringkat antarabangsa,” katanya dalam temu bual bersama media Asia Tenggara di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Pemasaran Alibaba Group, Chris Tung.

Program latihan Alibaba Netpreneur, anjuran bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) sebelum ini menyaksikan kira-kira 10 rangkaian produk usahawan tempatan dari kawasan pedalaman dijual menerusi platform kedai dalam talian, LazMall.

Produk hasil tempatan berkenaan antara lain merangkumi beras organik Orang Asli, kacang tanah Sempalit, sos soya Bentong dan serbuk halia Bentong.

Pemerkasaan industri hiliran di seluruh dunia yang digagaskan Alibaba adalah sebahagian daripada komitmen peneraju syarikat e-dagang itu dalam membantu 100 juta PKS menjana pendapatan, menjelang kurun ke-21.

Dalam perkembangan lain, prajualan 11.11 Alibaba menerusi platform dalam dan luar talian gedung beli belah, TMall merekodkan 42 peratus daripada keseluruhan transaksi terdiri daripada pengguna di kawasan kurang membangun, iaitu bandar kelas tiga serta empat di China.

Mengulas perkembangan berkenaan, Tung berkata, Alibaba ketika ini mempunyai lebih sejuta jenama baharu yang akan dipasarkan menerusi platform e-dagang bagi memenuhi permintaan pasaran, khususnya dalam kalangan ‘generasi Z’.

“Data daripada pengkomputeran awan Alibaba menunjukkan generasi muda yang menjadi pemacu utama jualan adalah dalam kalangan golongan isi rumah berpendapatan pertengahan dan mempunyai kuasa beli.

“Mereka teruja untuk mencuba produk dan jenama baharu yang dipasarkan menerusi platform e-dagang, berbanding kaedah konvensional kerana sering terdedah dengan perubahan semasa,” katanya.

Berita Harian X