Isnin, 11 November 2019 | 5:54pm

Penerima Food Bank Siswa bakal terima zakat

GOMBAK: Pelajar universiti awam (UA) yang kini mendapat manfaat menerusi program Food Bank Siswa, bakal menerima bantuan zakat pada tahun depan.

Ia berikutan cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memperluaskan bantuan kepada penerima program itu dengan menyalurkan zakat kepada mereka.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata bantuan zakat kepada mahasiswa berkenaan akan diagihkan mulai tahun depan dengan pelaksanaannya dijangka dapat mengurangkan kos sara hidup penerima.

Pengagihan bantuan zakat itu akan menggunakan dana Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan agensi lain di bawah kementerian berkenaan.

Ini kerana, SSM adalah agensi yang mempunyai format serta menjalankan aktiviti yang menjana pendapatan, selain turut membuat agihan zakat setiap tahun.

“Ada sedikit kelainan saya cadang untuk tahun depan kerana di universiti kita sudah ada sejumlah pelajar dikenal pasti datang daripada keluarga berpendapatan rendah yang kini menikmati program Food Bank Siswa.

“Justeru, kelompok ini kalau kita bantu lagi secara pemberian zakat, ia sudah pasti akan meringankan kewangan mereka, selain penerima boleh beri tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran,” katanya.

Menteri, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (dua dari kiri) menyampaikan barangan kepada mahasiswa UIA dari golongan B40, Mohamad Nor Imran Mat Shah (kiri) pada majlis Mahabbah Food Bank di UIAM. Turut hadir, Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abd Aziz (tengah), Timbalan Rektor, Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti, UIAM, Profesor Madya Dr. Zulkifli Hasan (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Food Bank Malaysia, Abd. Wahab Long. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Mahabbah Food Bank Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini, beliau berkata ketika ini ada seramai 6,470 mahasiswa yang menyertai program berkenaan.

“Saya akan bincang berapa saiz tanggungjawab zakat wajib dikeluarkan dan daripada situ kita tentukan bilangan penerima,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Food Bank Malaysia, Ab Wahab Long dan Timbalan Rektor UIAM, Prof Madya Dr Zulkifli Hasan.

UIAM adalah UA ke-20 menyertai program Food Bank Siswa. Seramai 200 mahasiswa UIAM dipilih menyertai program berkenaan. Program itu dijangka diperluaskan ke 123 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik dan institut perguruan di seluruh negara, mulai tahun depan.

Food Bank Siswa diperkenalkan melalui dua kaedah iaitu `Food Pantry’ iaitu penyimpanan barangan kering di bilik khas dan siswa yang layak akan menerima agihan makanan mengikut jadual ditetapkan, selain `Central Kitchen’ yang berbentuk sumbangan makanan boleh dimasak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kanan) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abd Aziz (dua dari kanan) dan Timbalan Rektor, Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti, UIAM, Profesor Madya Dr. Zulkifli Hasan (kiri) menunjukkan antara barangan yang terdapat di Mahabbah Food Bank, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Berita Harian X