Ahad, 10 November 2019 | 8:00pm

EKSKLUSIF: Bekas plastik murah jejas kesihatan

KUALA LUMPUR: Harganya yang murah, serendah RM2 menyebabkan pengguna ghairah membeli alat permainan dan bekas makanan diperbuat daripada plastik yang banyak dijual di kedai serbaneka.

Bagaimanapun, ramai tidak menyedari kesan negatif ke atas kesihatan menanti pengguna jika ia digunakan secara berterusan dan tanpa pemantauan, terutama untuk bayi serta kanak-kanak.

Kebanyakan produk itu lazimnya diperbuat daripada bahan kimia tambahan dikenali sebagai phthalates yang antara lain boleh mengganggu sistem hati, buah pinggang, paru-paru dan sistem pembiakan.

Dietilheksil phthalate atau lebih dikenali DEHP pula boleh mengganggu sistem endokrin manusia menyebabkan sikap seseorang berubah menjadi marah.

FAUZIAH Shahul Hamid

Ketua Pusat Penyelidikan Pengurusan Sisa Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Fauziah Shahul Hamid, berkata phtalates, bahan kimia yang ditambah ketika pembuatan plastik 'digemari' pengilang untuk meningkatkan fleksibiliti, kejernihan, kekuatan dan ketahanan produk diperbuat daripada plastik dengan harga murah.

“Ia antara komponen dalam membentuk plastik menjadi bentuk diinginkan. Bagaimanapun agak sukar hendak menentukan jika sesebuah produk itu dihasilkan menggunakan phtalates kerana ia tidak diisytiharkan, sebaliknya pengisytiharannya hanya berkaitan jenis plastik.

“Penggunaan phthalates melebihi 80 peratus berbanding bahan kimia tambahan lain dalam pembuatan plastik. Oleh kerana phthalate lebih murah, produk plastik yang dihasilkan dapat dijual dengan harga murah.

“Lain-lain plastik yang lebih mahal mungkin dihasilkan dengan penambahan bahan selain phthlates. Pengguna harus bijak memilih dan kalau hendak beli, tiada masalah cuma harus berhati-hati dengan penggunaannya nanti,” katanya ketika ditemui BH di sini.

SEBAHAGIAN bekas plastik yang dipercayai mengandungi phthalates. - Foto Mustaffa Kamal

Fauziah berkata, pengguna harus mengelakkan daripada membeli produk diperbuat daripada phtalates jika ia digunakan untuk menghidangkan makanan atau minuman.

“Phthalates akan dipindahkan dalam tubuh manusia apabila makanan dan minuman bersentuhan dengan barangan plastik mengandungi bahan itu, terutama jika terdedah kepada haba (menghidangkan makanan atau minuman dalam bekas plastik) yang akhirnya memberi kesan kepada pengguna.

“Golongan paling terdedah kepada bahan kimia ini adalah kanak-kanak atau bayi yang lazimnya memasukkan alat permainan ke dalam mulut. Perbuatan ini menyebabkan bahan kimia memasuki sistem badan melalui air liur mereka.

“Pendedahan kepada phthalates akan mengganggu sistem hormon, terutama testosteron atau hormon lelaki. Selain menyumbang obesiti ia juga mengganggu kesuburan wanita dan kelahiran pramatang, memburukkan simptom alergi dan asma serta mengubah tingkah laku kanak-kanak,” katanya.

Berikutan itu, katanya, pelbagai pihak, terutama pengeluar harus mengisytiharkan kandungan kimia digunakan dalam pembuatan produk.

"Pengguna berhak mendapat maklumat bagi membolehkan mereka membuat pilihan terbaik tanpa memudaratkan kesihatan. Satu perancangan khusus juga perlu dibuat dalam aspek pengurusan plastik,” katanya.

Berita Harian X