X
Sabtu, 9 November 2019 | 9:06pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada Tan Sri Lee Lam Thye (kiri). - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada Tan Sri Lee Lam Thye (kiri). - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Sumbangan keselamatan institusi tahfiz kriteria pemilihan Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR: Sumbangan aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye tanpa mengira perbezaan kaum dan agama termasuk dalam konteks keselamatan di institusi tahfiz menjadi antara kriteria pemilihannya sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M.

Antara sumbangan yang diambil kira Jawatankuasa Anugerah Maulidur Rasul itu adalah membangunkan buku panduan bagi membantu institusi tahfiz menangani isu berkaitan keselamatan.

Sumbangan besarnya dalam membina kesedaran kepentingan aspek keselamatan membabitkan warga tahfiz itu dipancarkan menerusi montaj ketika pengumumannya sebagai satu-satunya penerima bukan Islam pada tahun ini.

Sementara itu, Lee Lam Thye berkata, beliau terharu dengan pemilihan itu dan melihatnya sebagai tanggungjawab untuk terus komited menyampaikan ilmu serta berkongsi pengalaman bagi memastikan keselamatan warga tahfiz.

“Kita tahu ada banyak kejadian berlaku membabitkan pusat tahfiz antaranya tragedi kebakaran di sekolah tahfiz dan sekolah agama.

“Ketika menyandang jawatan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), saya bersama pihak pengurusan mewujudkan buku panduan keselamatan untuk sekolah tahfiz di negara ini.

“Jadi, selain keselamatan jalan raya, pekerjaan dan jenayah, institusi tahfiz antara aspek yang terus diberi tumpuan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M di Axiata Arena di sini, hari ini.

Lam Thye berkata, beliau turut menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baharu, iaitu Ikatan Komuniti Selamat bagi mendidik masyarakat tanpa mengira kaum dan agama supaya mereka mengambil serius aspek keselamatan.

Dalam perkembangan lain, Lam Thye melihat pemilihannya sebagai penerima anugerah itu sebagai komitmen untuk memupuk kesedaran rakyat mengenai kepentingan integrasi antara kaum.

“Sikap hormat-menghormati di antara satu sama lain, berkasih sayang dan memupuk keharmonian antara kaum amat penting di negara ini kerana kita hidup bersama masyarakat majmuk.

“Justeru, anugerah ini menjadi tanggungjawab untuk saya terus membantu kerajaan dan masyarakat menyampaikan mesej yang amat penting ini ke arah mencapai keharmonian dan perpaduan,” katanya.

Selain Lam Thye, antara penerima bukan Islam sebelum ini ialah penyair yang juga Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write), Dr Lim Swee Tin yang menerimanya pada 2016.

Tahun sebelumnya, jurulatih pendakian yang menyelamatkan 137 pendaki dalam kejadian gempa bumi di Ranau, Kota Kinabalu, iaitu Mithun Jay Langgim turut dinobatkan sebagai penerima.

Penganugerahan itu berdasarkan sumbangan besar individu terbabit dalam memartabatkan syiar Islam pada peringkat kebangsaan dan global yang diiktiraf oleh pelbagai pihak.

Berita Harian X