Sabtu, 9 November 2019 | 5:32pm
Mujahid menjawab pertanyaan wakil media selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2019 di Axiata Arena, di sini, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Hantar anak ke pusat tahfiz tak berdaftar, ibu bapa boleh dihukum

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji peruntukan undang-undang bagi membolehkan tindakan diambil terhadap ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat tahfiz tidak berdaftar di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata langkah tegas itu perlu diambil bagi ‘mendidik’ ibu bapa yang tidak serik menghantar anak ke pusat tahfiz tidak berdaftar, sedangkan banyak peringatan sudah diberi berhubung perkara itu sebelum ini.

“Kita sudah memaklumkan lebih awal supaya ibu bapa hanya menghantar anak ke pusat tahfiz berdaftar kerana ada kawalan dalam pembelajaran dan pengurusannya.

“Bagaimanapun, ibu bapa tidak menghiraukannya dan terus menghantar anak ke tempat tidak berdaftar. Jadi, saya akan cari satu undang-undang yang membolehkan tindakan diambil kepada ibu bapa berkenaan kerana kita tidak mahu berlaku kejadian tidak diingini kepada anak mereka,” katanya selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2019 di Axiata Arena, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kejadian Jumaat lalu membabitkan pelajar tahfiz di Lanchang, Pahang, Muhammad Aimin Nurul Amin, 7, yang meninggal dunia kira-kira jam 2 petang di Klinik Kesihatan Lanchang selepas ditemui dalam keadaan lemah oleh warden asrama, dengan kesan lebam di beberapa bahagian badan dipercayai dipukul.

Mujahid berkata, ada pusat tahfiz yang terpesong dengan matlamat penubuhannya, selain ia dijadikan ‘tempat pembuangan’ anak yang bermasalah akhlak.

Beliau berkata, walaupun menghantar anak ke pusat tahfiz adalah pilihan ibu bapa, tetapi mereka tidak boleh bersikap ‘lepas tangan’ dengan harapan institusi itu dapat memulihkan akhlak anak dan menjaga kebajikan mereka.

“Banyak pusat tahfiz yang lari daripada matlamat asal penubuhannya tetapi perincian mengenainya perlu diperiksa dengan negeri dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI),” katanya.

Mengulas penguatkuasaan terhadap pusat tahfiz di negara ini, beliau berkata, pihaknya berbincang dengan kerajaan negeri berhubung isu itu bagi setiap tiga bulan sekali.

“Antara isu pernah dibawa pada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ialah arahan supaya negeri mengambil berat dan melaporkan kepada kita jumlah sekolah berdaftar serta sekolah haram, selain masalah dihadapi mereka.

“Dari segi penguatkuasaan, tindakan diambil oleh kerajaan negeri,” katanya.

Berita Harian X