Sabtu, 9 November 2019 | 3:43pm
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

PH berusaha rombak sistem korup

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) bekerja keras merombak sistem usang yang korup berusia enam dekad, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain mengubah budaya rasuah yang meresap dalam sistem pentadbiran, Anwar menegaskan, PH juga perlu berdepan dengan taikun tamak yang antaranya terbabit dalam ‘menentukan’ sistem pada masa lalu.

“PH di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sedang berusaha merombak sistem usang yang korup berusia enam dekad. Ini permulaan.

“Walaupun ada beberapa bahagian yang menyaksikan kejayaan (hasil dasar terdahulu), namun kita juga berdepan pelbagai masalah lain.

“Antaranya perbelanjaan secara bermewah-mewahan, rasuah dan taikun tamak yang berusaha menentukan (sistem dan dasar) seperti dahulu,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pleno dalam Forum Ekonomi Belia 2019 (YEF 2019) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, kemiskinan masih lagi menjadi isu utama di negara ini, walaupun sudah cuba diatasi Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) sejak 1970.

“Sejak beberapa dekad lalu, kita sentiasa mendengar mengenai anjakan paradigma untuk membasmi kemiskinan. Hakikatnya setiap kali dasar besar diumumkan, hanya perubahan kecil pada sistem yang dilaksanakan,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mengulangi desakannya sebelum ini supaya pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak mendiskriminasi siswazah daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang memohon pekerjaan, hanya kerana kelemahan penguasaan bahasa Inggeris.

Anwar menegaskan, korporat dan GLC perlu memberi peluang pekerjaan kepada mereka serta menyediakan memberi latihan intensif bahasa Inggeris, sekali gus mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan graduan B40.

“Golongan miskin, B40 bersusah payah untuk masuk ke universiti. Selepas tamat pengajian, 60 peratus daripada mereka kekal sebagai penganggur dalam tempoh setahun pertama.

“Saya merayu pada syarikat swasta dan GLC, ambillah dalam kalangan yang terbaik dalam golongan B40 (walaupun lemah Bahasa Inggeris) untuk bekerja, dan berikan latihan intensif bahasa Inggeris kepada mereka,” katanya.

Berita Harian X