Sabtu, 9 November 2019 | 3:12pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (kiri) bersama penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M, Tan Sri Lee Lam Thye pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M di Axiata Arena di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M kepada Tan Sri Lee Lam Thye pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M di Axiata Arena di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Gembleng kepakaran, bantu pengendali tahfiz - Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR: Penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M, Tan Sri Lee Lam Thye menyifatkan penganugerahan itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya selama 45 tahun dalam aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Lam Thye berkata, anugerah itu memberikan suntikan semangat untuk terus tampil bersama dengan anggota Ikatan Komuniti Selamat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ia bertujuan untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya pada sidang media selepas majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M di Axiata Arena di sini, hari ini.

Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada tahun ini ialah Datuk Seri Daud Muhammad, manakala penerima lain ialah ahli akademik, Prof Datuk Dr Asma Ismail; pelopor Hospital Mesra Ibadah (HMI), Datuk Dr Khalid Ibrahim dan aktivis kemanusiaan, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Menyentuh mengenai keselamatan di pusat tahfiz, Lam Thye berkata, aspek keselamatan perlu dipertingkatkan memandangkan banyak kes berlaku.

“Justeru, melalui Ikatan Komuniti Selamat saya akan menggembleng tenaga pakar untuk bersama menyampaikan ilmu dan pengalaman dengan pengendali institusi tahfiz di negara ini,” katanya.

Sementara, Mohd Azmi berkata, meskipun terharu dengan pengiktirafan berkenaan, beliau menyifatkan diri kerdil dan sangat jauh daripada keperibadian Rasulullah SAW.

“Saya pernah cadangkan supaya hari keputeraan Rasulullah SAW diangkat sebagai Hari Kanak-Kanak Islam Sedunia kerana Baginda teladan terbaik untuk generasi muda.

“Dari segi sahsiah, Baginda memimpin masyarakat, membina negara, menyebarkan mesej kesejahteraan, keselamatan dan kedamaian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Asma berkata, penganugerahan itu sangat bermakna dan hadiah istimewa buat ibunya yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-85, semalam.

“Saya anggap ini hadiah untuk ibu tercinta kerana tanpanya tidak mungkin akan berada di tahap ini.

“Ia dijadikan pemangkin untuk saya meneruskan sumbangan dalam dunia pendidikan dan penyelidikan.

“Bagi saya, pendidikan perlu seimbang dengan ilmu dan akhlak kerana tidak ada gunanya jika ada teknologi tetapi ia tidak memanfaatkan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Khalid berkata, anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada Kementerian Kesihatan.

“Pihak kami perkenalkan program baharu dinamakan HMI selepas melihat kesukaran pesakit untuk menyempurnakan ibadat solat kerana ramai yang tidak memahami konsep solat semasa darurat.

“Ketika ini sebanyak 148 hospital mesra ibadat meliputi 80 peratus sudah mengamalkan konsep berkenaan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dimulakan tahun ini,” katanya.

Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun ini, menerima wang tunai RM50,000, trofi dan sijil penghargaan, manakala penerima lain pula mendapat masing-masing menerima wang tunai RM20,000, trofi serta sijil penghargaan. 

Berita Harian X