Sabtu, 9 November 2019 | 2:36pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (empat dari kiri) bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tiga dari kiri) bergambar bersama penerima Anugerah Maulidur Rasul ketika majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

'Siasat mengapa pusat tahfiz berdepan banyak isu' - TPM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengetahui punca sebenar institusi tahfiz terpalit dengan pelbagai isu sehingga ada yang menyebabkan kematian pelajar.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, langkah itu akan membolehkan penyelesaian diambil supaya tragedi sebelum ini tidak berulang.

Beliau turut mempersoalkan mengapa masih wujud pusat tahfiz tidak berdaftar, selain tiada pengawasan rapi pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga mengundang musibah.

Sehubungan itu, beliau akan duduk semeja bersama Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perdana Menteri untuk membincangkan hal berkaitan institusi tahfiz di negara ini.

“Ini satu tragedi yang kita tidak mahu berulang lagi dan bagaimana semua tahfiz ini muncul tanpa pengawasan.

“Kita akan siasat mengapa ini berlaku. Walaupun ia pusat tahfiz kecil, hanya empat pelajar, seorang berusia tujuh tahun dan yang lain 13 tahun, mengapa ia berlaku?

“Kes buli, kematian satu penderaan. Ada beberapa kes (pusat tahfiz) tanpa pendaftaran dan pengawasan juga.

“Ini semua akan dilihat secara menyeluruh dan mengapa ada penguatkuasaan berlainan. Tahfiz ini diarah tutup oleh MUIP (Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang).

“Saya akan bincang dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2019 di Axiata Arena, hari ini.

Beliau mengulas kejadian Muhammad Aimin Nurul Amin, 7, yang disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 petang di Klinik Kesihatan Lanchang, Pahang kelmarin, selepas ditemui dalam keadaan lemah oleh warden asrama, dengan kesan lebam di beberapa bahagian badan dipercayai dipukul.

Dr Wan Azizah berkata, institusi tahfiz bukan membabitkan agama sahaja, malah merangkumi hal berkaitan kesihatan, pendidikan dan kebajikan.

Dengan langkah itu, beliau berharap isu membabitkan institusi tahfiz dapat ditangani secara menyeluruh.

Dalam pada itu, beliau belum menerima laporan mengenai kematian pelajar tahfiz di Pahang.

“Kes-kes macam ini saban tahun berlaku. Itulah kita mahu ketatkan. Kita tak tahu sehingga ada laporan pada kami,” katanya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut mengingatkan ibu bapa atau waris supaya memeriksa status pusat tahfiz terlebih dahulu, sama ada sah atau tidak.

Katanya, pemantauan perlu dilaksanakan secara ketat, merangkumi pihak berkuasa dan masyarakat bagi mengelak tragedi berulang.

Berita Harian X