Jumaat, 8 November 2019 | 9:49pm
Lam Thye (kiri) pada sidang media berhubung memperkenalkan muka-muka baharu Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat di Taman Desa Petaling. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Masyarakat perlu utamakan aspek keselamatan - Lam Thye

KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sebaik memulakan perjalanan ke tempat kerja dan pulang dengan selamat ke kediaman masing-masing, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, tanpa disedari ahli masyarakat dan anggota keluarga terdedah kepada bahaya dan risiko yang boleh mengancam keselamatan mereka sebaik keluar dari rumah.

“Oleh itu, Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat menggesa masyarakat supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dalam rutin harian termasuk ketika bekerja bagi mengelak daripada terbabit dalam kemalangan dan kecederaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Profesor Dr Wong Shaw Voon, Setiausaha Kehormat, Matdiah Mohammad dan Bendahari, Datuk Ir Foong Choy Chye.

Lam Thye berkata, pertubuhan itu yang diwujudkan pada akhir tahun lalu kini giat mengadakan program bagi mendekati masyarakat dan mempromosikan aspek keselamatan yang perlu diberi keutamaan dalam kehidupan seharian.

“Masa yang sama, Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat mahu memasyarakatkan keselamatan supaya ia menjadi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia ,” katanya.

Setakat ini, katanya, Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat mempunyai 25 ahli jawatankuasa yang terdiri daripada individu profesional daripada pelbagai latar belakang untuk mewakili masyarakat bertujuan mempromosikan pengetahuan berkaitan aspek menjaga keselamatan dan kesihatan komuniti.

Selain itu, beliau berkata, aspek keselamatan juga perlu mengambilkira golongan suri rumah, kanak-kanak, warga emas dan penganggur dengan memberi pendedahan bagaimana untuk mengelak daripada menjadi mangsa jenayah.

“Kita juga berhasrat untuk mengadakan program bersama komuniti bagi meningkatkan kesedaran di rumah dan tempat kerja,” katanya.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan sebarang kerjasama untuk menganjurkan sebarang aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan penduduk setempat.

Berita Harian X