Jumaat, 8 November 2019 | 8:28pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan). - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Kerajaan tidak lanjut perkhidmatan konsesi Pharmaniaga

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju tidak meneruskan perkhidmatan konsesi perolehan ubat dan peralatan perubatan dari Pharmaniaga yang akan berakhir pada 30 November ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya juga bersetuju memberi tempoh sementara selama 25 bulan kepada Pharmaniaga bagi memastikan tiada sebarang gangguan peredaran ubat sebelum mendapat konsesi baharu.

“Memandangkan kepada kepentingan untuk mengekalkan bekalan ubatan, Kabinet bersetuju untuk memberi tempoh sementara (interim period) kepada Pharmaniaga. Tempoh 25 bulan itu akan berakhir pada Disember 2021.

“Dalam tempoh berkenaan, Kementerian Kesihatan mampu membuat persiapan supaya apa yang dikendalikan syarikat berkenaan sebelum ini mampu kita kendalikan dari segala sudut.

“Sekiranya pihak kementerian mampu membuat persiapan lebih awal dari tempoh 25 bulan itu, tender terbuka akan dikeluarkan lebih awal. Tender ini terbuka kepada semua pihak termasuk Pharmaniaga,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Pasca Kabinet kementeriannya, di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, bagaimanapun Kabinet turut bersetuju untuk meneruskan kontrak dalam sektor pengedaran dan logistik Pharmaniaga bagi tempoh lima tahun.

“Pemberian kontrak berkenaan adalah berdasarkan kepada prestasi dan keupayaan yang dibina oleh Pharmaniaga sehingga kini.

“Selepas lima tahun, ia tergantung sama ada kerajaan akan berikan kepada pihak lain atau sebaliknya,” katanya.

Pharmaniaga ialah konsesi ekslusif bagi pengedaran ubat dan bekalan perubatan kepada Kementerian Kesihatan sejak 26 tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya sudah membuat permohonan untuk 10,675 pelbagai jawatan tetap bagi kementeriannya.

Katanya, pihaknya sebelum ini sudah mengemukakan kepada agensi berkaitan untuk mewujudkan jawatan tambahan sebanyak 21,741 bagi menampung keperluan perkhidmatan di fasiliti baharu dan fasiliti yang dinaiktaraf.

“Namun, kementerian diminta untuk mengkaji semula permohonan berkenaan bagi perjawatan fasiliti yang dinaik taraf dan baharu sahaja yang akan beroperasi pada tahun 2019 dan 2020,” katanya.

Berita Harian X