Jumaat, 8 November 2019 | 8:02am

Ambil sarapan bijian penuh untuk kekalkan kecergasan

SARAPAN penting untuk memulakan hari, terutama untuk anak-anak supaya kekal cergas dan bertenaga.

Berdasarkan kaji selidik MyBreakfast Study (2015), di seluruh negara oleh Persatuan Nutrisi Malaysia, 9 daripada 10 kanak-kanak dalam negara ini, tidak mengambil bijian penuh yang secukupnya dalam pemakanan seharian mereka.

Kajian itu membabitkan 5322 pelajar sekolah rendah dan 3000 pelajar sekolah menengah.

Panduan Pemakanan Malaysia untuk Kanak-Kanak dan Remaja menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan setengah daripada pengambilan bijirin harian mestilah daripada bijian penuh. Contoh bijirin adalah nasi, gandum, jagung atau oat.

Bijian penuh merupakan bijirin yang lengkap dengan ketiga-tiga bahagian asal (bran, endosperma, dan germa ) semasa dituai.

Bran adalah lapisan luar yang mengandungi antioksidan, vitamin B dan serat. Manakala endosperma, bahagian paling besar dalam bijirin dan ia membekalkan tenaga dalam bentuk karbohidrat, protein serta mengandungi vitamin dan mineral.

Germa pula meliputi bahagian biji benih yang boleh bercambah dan ia tinggi dalam vitamin B, mineral, protein serta lemak yang sihat.

Apabila pengilang mengeluarkan bahagian bran dan germa daripada bijian penuh, ia menjadi bijian terproses seperti beras putih, tepung putih, mihun dan kueh teow.

Oleh itu, bijian penuh mempunyai lebih banyak nutrisi berbanding dengan bijian terproses kerana lebih banyak serat, antioksidan, vitamin, mineral yang terdapat pada lapisan bran dan germa.

Beras perang, gandum, oat, jagung, barli adalah contoh bijian penuh. Ia juga digunakan untuk membuat pelbagai jenis makanan yang berasaskan bijirin seperti mi, pasta, biskut kraker, roti dan bijirin sarapan. Mencari produk bijian penuh di pasaran senang sahaja, pastikan ia mempunyai logo bijian penuh ataupun semak senarai ramuan.

Nutrien yang terdapat pada dalam bijian penuh sangat penting untuk kesihatan dan tumbesaran anak-anak. Oleh sebab itulah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pengambilan bijian penuh dalam pemakanan seharian mereka untuk membantu mengurangkan risiko obesiti, penyakit jantung dan kencing manis.

Bijian penuh juga membekalkan sumber tenaga kepada anak-anak yang aktif membesar. Ia menyediakan lebih banyak vitamin dan mineral untuk diet anak anda setiap hari, berbanding makanan yang dibuat daripada bijian terproses. Selain itu, ia juga turut memberi lebih banyak serat yang diperlukan untuk sistem penghadaman yang baik.

Ibu bapa kini tahu bahawa anak mereka tidak mengambil bijian penuh yang mencukupi. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memupuk amalan pemakanan yang sihat di kalangan anak - anak.

Dengan memperkenalkan bijian penuh pada peringkat awal dapat membantu memupuk amalan pemakanan yang sihat apabila mereka dewasa nanti.

Bagaimanapun, terdapat salah tanggapan bahawa anak-anak tidak sukakan bijian penuh. Secara hakikatnya, anak-anak sukakan makanan yang sering didedahkan kepada mereka.

Jadi, sekiranya ibu bapa selalu dedahkan anak- anak dengan makanan berasaskan bijian penuh, pastinya mereka akan terbiasa dengan rasanya.

Untuk menarik minat mereka, berikut merupakan beberapa cadangan untuk membantu menarik selera anak-anak anda.

Ibu bapa yang masih tercari-cari apakah sarapan yang sesuai untuk anak mereka, Nestle Koko Krunch sesuai dihidangkan kerana mempunyai 28 peratus lebih bijian penuh berbanding dengan resepi terdahulu.

#ChooseWholeGrain

Berita Harian X