Khamis, 7 November 2019 | 8:07pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - Foto BERNAMA
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - Foto BERNAMA

RM5.8 bilion nilai kerugian angkara jenayah siber

KUALA LUMPUR: Sebanyak 21,862 kes jenayah komersial direkodkan di seluruh negara membabitkan nilai kerugian mencecah RM5.8 billion bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador,memaklumkan jumlah itu meningkat sebanyak 20,913 kes atau 4.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Daripada jumlah keseluruhan itu, 47.2 peratus membabitkan kes pinjaman tidak wujud, e-belian, ‘Macau Scam’ dan ‘African Scam’ yang menggunakan internet sebagai medium untuk mencari mangsa.

“Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat wujud keperluan untuk menyebar ilmu pengetahuan kepada masyarakat supaya mereka dapat mengelak daripada menjadi mangsa sindiket penipuan jenayah siber,” katanya.

Abdul Hamid berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Persidangan Kebangsaan Jenayah Komersial: Ancaman dan Pendekatan Teknologi Siber 2010 di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad dan Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim.

Abdul Hamid berkata, penganjuran persidangan adalah bertepatan untuk dijadikan sebagai pendekatan terbaik memahami trend strategi dalam menangani ancaman jenayah siber.

“Arus deras modenisasi menyumbang kepada kepelbagaian trend jenayah siber masa kini yang menuntut PDRM untuk berfikir di luar jangkaan bagi mendepani cabaran ‘dunia baharu’ ini.

“Dengan adanya persidangan ini, PDRM boleh mendedahkan kepada masyarakat mengenai sisi gelap alam maya selain memperkasakan kemahiran pegawai polis khususnya bagi mengendalikan kes jenayah siber,” katanya.

Persidangan dua hari itu membabitkan seramai 380 peserta terdiri daripada pegawai kanan polis, ahli akademi, pakar industri dan orang awam.

Berita Harian X