Khamis, 7 November 2019 | 4:12pm
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

RM16 juta geran R&D inisiatif I-CONNECT

PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) memperuntukkan RM16 juta melalui geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) membabitkan inisiatif Innovation Connect (I-CONNECT).

Menterinya, Yeo Bee Yin, berkata pihaknya bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) akan memberi tumpuan kepada empat bidang perintis iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan, Fintech dalam Kewangan Islam (Perkhidmatan), Industri 4.0 (Pembuatan) dan Rangkaian Bekalan Halal.

Sehubungan itu, beliau berkata, ia diharap membolehkan industri menyumbang dari segi kewangan dan sokongan untuk projek R&D.

“Entiti di bawah I-CONNECT akan berkhidmat sebagai pengantara inovasi yang akan bekerjasama dalam rangkaian dalam kalangan pemain industri, selain merealisasikan kemajuan industri.

“Kami berharap melalui kerjasama ini yang kita cipta melalui I-CONNECT, ia boleh membina wawasan yang dipersetujui semua pemain industri untuk menjayakan empat bidang perintis,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran I-CONNECT dan Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP) di sini hari ini.

Mengulas mengenai MOSP, Bee Yin berkata, ini adalah inisiatif membabitkan fasa pertama yang berkongsi data penyelidikan dan penerbitan di antara lima universiti dan 15 institut dan agensi penyelidikan di bawah MESTECC.

Beliau berkata, platform berkongsi data akan melengkapkan inisiatif I-CONNECT untuk mewujudkan kerjasama inovasi melalui platform digital terbabit.

“Seperti sekarang, penyelidik buat penyelidikan dan mewujudkan data sendiri namun mereka tidak mengetahui bahawa ada penyelidik lain sudah membuat penyelidikan terbabit.

“Usaha ini akan dapat membuka peluang perkongsian data supaya tidak bertindih dalam penyelidikan dan dari platform ini, penyelidik boleh mengembangkan lagi penyelidikan penyelidikan lain,” katanya.

Berita Harian X