Khamis, 7 November 2019 | 3:19pm
Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Wisma Putra sahkan pemimpin pembangkang Kemboja ditahan di KLIA

KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengesahkan Naib Presiden Cambodia National Rescue Party (CNRP), Mu Sochua ditahan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Beliau turut mengakui ada menerima permintaan daripada Kerajaan Kemboja untuk menghantar pulang Sochua, yang juga pemimpin parti pembangkang yang diharamkan di negara itu.

Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan, sebarang keputusan Malaysia terhadap Sochua, akan dibuat tanpa terikat dengan desakan mana-mana pihak.

“Sochua kini berada di KLIA. Pegawai Imigresen hanya mahu mendapatkan keterangan daripadanya.

“Dia masuk ke negara ini menggunakan pasport Amerika Syarikat (AS) lewat malam tadi. Pihak Imigresen hanya mahu mengambil keterangannya. Mereka mungkin mahu tahu tujuan dia ke sini.

“Apa pun, pendirian Wisma Putra adalah kita tidak berada dalam posisi untuk menghantar pulang sesiapa, atau kita suka untuk berbuat demikian,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengesahkan laporan beberapa media antarabangsa yang mendakwa Sochua ditahan pihak berkuasa Malaysia.

Mengulas mengenai permintaan Kemboja, Saifuddin berkata ia adalah permintaan biasa dari sebuah kerajaan yang mahu beberapa rakyatnya dihantar pulang, dan Malaysia sudah memberi maklum balas kepada permintaan itu.

“Kita buat keputusan secara sendiri, bukan kerana permintaan atau campur tangan dari negara luar, jadi apa yang pihak Imigresen lakukan adalah atas kepentingan kita.

“Kita adalah negara demokrasi. Kita ikuti perkembangan ini secara dekat, namun pada masa sama, kita tidak boleh campur tangan dalam apa yang berlaku di negara lain,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Sochua ditahan bersama pengasas CNRP, Sam Rainsy, Saifuddin menafikan perkara itu.

“Saya mengenali dia, tapi tidak tahu sama ada dia akan ke sini. Ada khabar angin beliau akan datang ke Malaysia untuk bertemu saya, itu memang tiada dalam perancangan,” katanya.

Minggu lalu, Thailand menolak kemasukan Sochua ketika tiba ke lapangan terbang antarabangsa di Bangkok, sebelum wanita itu terbang ke Indonesia dan mengadakan satu sidang media di negara berkenaan.

Media antarabangsa melaporkan, Kemboja dipercayai menahan sekurang-kurangnya 48 aktivis pembangkang tahun ini atas tuduhan merancang menggulingkan Perdana Menteri negara itu, Hun Sen.

Berita Harian X