Rabu, 6 November 2019 | 8:51pm

Transformasi perniagaan, Media Prima bincang dengan kesatuan pekerja

KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad (Media Prima) sedang bekerjasama dengan kesatuan pekerja bagi melaksanakan pelan transformasi perniagaan seperti diumumkan syarikat itu pada 1 November lalu.

Peneraju media bersepadu itu dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan langkah itu bertujuan memastikan proses pelaksanaannya yang akan dijalankan telus dan semua obligasi kepada warga kerja terbabit diberi keutamaan.

Katanya, antara kesatuan pekerja yang terbabit dalam perbincangan berkenaan ialah Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) cawangan The New Straits Times Press (NSTP), Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar (NUNW) cawangan NSTP, Kesatuan Sekerja Kakitangan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (KSKSTMB) dan Kesatuan Eksekutif Sistem Televisyen Malaysia Berhad (KESTMB).

“Semua pihak sudah mencapai kata sepakat bahawa warga kerja yang terbabit akan menerima pampasan yang adil dan saksama, mengikut undang-undang serta perjanjian bersama kesatuan masing-masing,” katanya.

Pada 1 November lalu, Media Prima mengumumkan kumpulan itu akan mengorak langkah ke fasa transformasi perniagaan seterusnya.

Ini membabitkan penukaran model perniagaan dan penstrukturan dalaman bagi membolehkan kumpulan itu lebih berdaya saing dan mampan di masa depan, berikutan suasana makro ekonomi yang tidak menentu serta gangguan perubahan lanskap media global dan domestik.

Selain pampasan yang adil dan saksama, Media Prima juga akan menyediakan khidmat sokongan kepada warga kerja termasuk perkhidmatan penempatan keluar dan kaunseling kerjaya.

Berita Harian X