Rabu, 6 November 2019 | 12:11am

20 akaun FB palsu burukkan calon PH

PONTIAN: Lebih 20 akaun Facebook (FB) palsu dikesan memburukkan calon Pakatan Harapan (PH) sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad, berkata tindakan itu berniat merendahkan calon PH, Karmaine Sardini, 66, dengan cara negatif.

“Sebahagian ialah akaun palsu dan kita faham mengenai keadaan itu tetapi kita tetap melaksanakan pemantauan dan tindakan terhadap media sosial yang sekarang ini berleluasa dengan berita palsu ini.

“Jumlah (akaun FB palsu) saya rasa banyak. Ada lebih 20 yang dalam pemantauan di PRK, termasuk banyak berkaitan calon kita Karmaine Sardini,” katanya di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Belokok, malam ini.

Dzulkefly berkata, pihaknya sentiasa memantau media sosial sama ada menerusi Instagram atau FB yang mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap calon dan kerajaan PH.

“Sekiranya kita dapati bahawa aduan ini mempunyai unsur-unsur fitnah, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Dzulkefly berkata, semua pihak perlu memastikan berkempen secara sihat.

Berita Harian X