Selasa, 5 November 2019 | 11:06am

TVET perkenal kursus teknologi dron, AI

PUTRAJAYA: Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan kursus agro berteraskan penggunaan teknologi, khususnya berkaitan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata inisiatif itu sejajar perkembangan semasa dan permintaan terhadap produk pertanian di negara ini yang semakin meningkat, selain menawarkan peluang meluas kepada graduan.

“Kita akan menawarkan banyak kursus di institusi TVET, termasuk agro yang berteraskan teknologi seperti penggunaan dron, kecerdasan buatan (AI) serta teknologi lain,” katanya kepada media selepas merasmikan Kolokium Pendidikan Revolusi Industri 4.0 di sini, hari ini.

Kolokium itu disertai 400 peserta terdiri daripada guru, pensyarah dan industri yang antara lain bertujuan memberi pendedahan berkaitan pendidikan IR 4.0.

Bagi memastikan graduan berdaya saing dan dilengkapi pengetahuan terkini berkaitan IR 4.0, Maszlee berkata, universiti diminta bekerjasama lebih rapat dengan pihak industri dalam menyediakan silibus serta kurikulum berdasarkan kehendak pasaran semasa.

“Kurikulum ini akan disemak setiap tahun demi memastikan graduan tidak ketinggalan, kita mahu mereka dilengkapi pengetahuan terkini agar dapat diserap masuk terus ke alam pekerjaan.

“Di peringkat sekolah, kita bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) agar murid serta pelajar didedahkan dengan literasi digital terkini, misalnya bangunkan robotik dan coding di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Maszlee berkata, kementerian mahu perkembangan teknologi digital diselarikan dengan elemen kemanusiaan, iaitu pelajar diterapkan dengan nilai murni, antara lain bagi menangani buli siber yang semakin membimbangkan.

“Kementerian akan pastikan kempen penerapan nilai murni dan akhlak terpuji berterusan, bukan hanya di sekolah dan universiti, malah di media (sosial).

“Buli siber adalah fenomena global, kita akan berusaha supaya rakyat kita ada akhlak yang tinggi, dulu ada buli jalan raya, sekarang dengan perkembangan teknologi ada pula buli siber.

“Ia perbuatan jenayah, ramai yang hadapi tekanan kerana buli siber, ia akhlak buruk dan patut masyarakat kecam.. (malah) ada artis bercerai-berai (kerana buli siber),” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Maszlee berkata, ada dua kategori golongan melakukan buli siber iaitu mereka yang dibayar dan individu yang sengaja suka mengutuk pihak lain di laman sosial.

“Mereka yang dibayar ini memang kerjanya menyerang Facebook atau laman sosial orang tertentu seperti menteri, manakala ada pihak lain sengaja suka menyakiti orang lain dengan memuat naik komen negatif,” katanya.

Maszlee (dua dari kiri) merasmikan Kolokium Pendidikan Revolusi Industri 4.0 di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X