Isnin, 4 November 2019 | 6:17pm

Amaran cuaca peringkat waspada di Sabah, Labuan

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca waspada peringkat kuning di Sabah dan Labuan berikutan sistem tekanan rendah di perairan barat Filipina yang menyebabkan hujan lebat dan angin kencang, esok dan lusa.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon berkata, kawasan terbabit ialah Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud di Bahagian Pantai Barat Sabah.

Katanya, turut terjejas ialah Kuala Penyu dan Beaufort di Bahagian Pedalaman dan Bahagian Kudat di utara negeri itu, selain Labuan.

“Kehadiran sistem tekanan rendah menyebabkan angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan pantai barat Sabah dan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat dan ramalan cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial MetMalaysia dan Hotline MetMalaysia.

Berita Harian X