Sabtu, 2 November 2019 | 6:16pm
WAYTHA Moorthy menyampaikan anugerah "Miss Unity 2019" kepada Yap Jian Yan (tiga kanan) ketika Fiesta Perpaduan di Hati Peringkat Negeri Selangor 2019 di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Tanah Klang. Turut bersama, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Selangor, Fairojibanu Zainal Abidin (dua kanan). - Foto NSTP/Sairien Nafis

Pihak swasta perlu terbabit program perpaduan - Waytha Moorthy

KLANG: Program menerapkan perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya ia juga perlu dilaksanakan pihak swasta membabitkan masyarakat setempat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, berkata ketika ini kerajaan sedang memulakan komunikasi dengan semua pihak swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan sukarela dan pemilik pusat beli belah dalam menggalakkan mereka untuk turut serta terbabit dengan acara perpaduan.

“Kita ingin semua pihak mengambil bahagian bersama dalam memupuk perpaduan. Kita adakan pertemuan dengan pengurusan pusat beli belah dan hari ini ada pihak swasta yang hadir (pada program Fiesta Perpaduan di Hati).

“Ini inisiatif awal dan saya percaya di masa hadapan akan lebih banyak lagi badan swasta menyertai acara seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas program Fiesta Perpaduan di Hati anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Selangor di sini, hari ini.

Program sehari itu turut disertai Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Selangor, Fairojibanu Zainal Abidin.

Waytha berkata, pihaknya kini sedang mengadakan perbincangan pemilik pusat beli belah besar bagi mengadakan program perpaduan.

Katanya, ia berikutan pusat beli belah sentiasa dikunjungi masyarakat pelbagai kaum terutama pada cuti hujung minggu.

“Kita sedang berbincang mungkin sebagai permukaan mengadakan program perpaduan sebulan sekali sebelum ia boleh diadakan seminggu sekali,” katanya.

Terdahulu ketika berucap, Waytha berkata, sebagai sebuah negara berbilang bangsa, budaya, agama, bahasa dan adat resam, kepelbagaian di Malaysia menjadi satu keunikan yang sepatutnya dirai dan menjadi kebanggaan bersama.

Beliau berkata, rakyat Malaysia sepatutnya membuktikan kemajmukan itu dengan menjadikan negara ini sebagai negara yang dicontohi oleh masyarakat antarabangsa.

“Namun, kita tidak dapat lari dari berdepan dengan isu sensitif yang boleh menggugat ketenteraman dan keharmonian. Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memelihara dan mengutamakan kesejahteraan rakyat agar usaha ke arah perpaduan nasional diteruskan demi menjamin kestabilan negara.

“Menyedari hakikat itulah, Program Fiesta Perpaduan Di Hati ini dianjurkan bagi memberi peluang kepada orang ramai menzahirkan semangat kebersamaan mereka.

“Program-program seumpama ini juga landasan terbaik kerajaan untuk sentiasa mendekati rakyat dalam usaha meningkatkan pemahaman antara

kaum berbilang bangsa dan agama secara santai dan bersahaja selain pengisian aktiviti menarik yang dapat memupuk serta mengukuhkan rasa kebersamaan itu,” katanya.

Pelbagai pertandingan turut dipertandingkan pada fiesta itu termasuk Ratu Perpaduan (Miss Unity) 2019 yang dimenangi Yap Jia Yan.

Berita Harian X