Sabtu, 2 November 2019 | 12:44pm
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini ketika sidang media selepas proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, hari ini. - Foto BERNAMA

Laluan khas di CIQ untuk pengundi PRK Tanjung Piai

PONTIAN: Jabatan Imigresen akan menyediakan laluan khas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Ismail serta Bangunan Sultan Abu Bakar, dekat sini, bagi pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang bekerja atau tinggal di Singapura pulang mengundi pada 16 November ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau sudah berbincang dengan Jabatan Imigresen mengenai laluan khas terbabit di CIQ yang masing-masing terletak di Johor Bahru dan Gelang Patah.

Laluan itu bertujuan memastikan pengundi dari Singapura sempat pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“...hanya perlu memaklumkan mereka adalah penduduk (pengundi) di Tanjung Piai dan akan dibenarkan menggunakan laluan berkenaan,” katanya selepas proses penamaan calon PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan di sini, hari ini.

Laluan itu dijangka dibuka jam 12 tengah malam pada 15 November ini hingga jam 5 petang keesokannya.

Sementara itu, Muhyiddin menafikan dakwaan bahawa ada tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) didera.

“Saya sudah semak dengan Ketua Polis Negara dan dapati dakwaan itu tidak benar. Malah, mereka dibawa keluar untuk berjumpa hakim dan peguam tetapi tidak membuat aduan berkaitan perkara itu.

“Saya tak boleh terima bulat-bulat dakwaan ini, tetapi kita pandang serius dan akan melakukan siasatan.

“Tahanan juga ada hak untuk membuat laporan jika rasa dilayan oleh pihak berkuasa tidak selari dengan undang-undang,” katanya.

Berita Harian X