Jumaat, 1 November 2019 | 9:47pm
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Lateefa Koya menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengarang Kumpulan Berita Harian, Khaidir A Majid pada Malam Apresiasi Media Bersama SPRM 2019 di Hotel Zenith. - Foto Luqman Hakim Zubir

SPRM ajak media sampaikan mesej antirasuah

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengajak media bersama-sama menyampaikan mesej pencegahan rasuah, seterusnya memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menolak perbuatan itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata media berperanan besar membawa wadah kesedaran sosial terhadap perkara yang berkisarkan kepada isu kepentingan, kebajikan serta keadilan masyarakat secara keseluruhannya.

“Tugas wartawan bukan sekadar melaporkan berita semata-mata, laporan itu mestilah mempunyai jiwa yang berperanan membawa kesedaran dan mendidik masyarakat terhadap sesuatu isu dan masalah sosial, termasuk isu rasuah.

“Laporkan sesuatu isu rasuah dengan penuh tanggungjawab untuk mendidik masyarakat, dedahkan kepada mereka mengenai bahaya rasuah kepada negara.

“Sampaikan mesej pencegahan rasuah kepada khalayak pembaca dan penonton. Media perlu bersama-sama SPRM khususnya dan kerajaan dalam usaha memerangi rasuah,” katanya berucap pada Malam Apresiasi Media anjuran SPRM di sini, malam ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya (tengah) bergambar bersama sebahagian Pengarang Kanan pengamal media pada Malam Apresiasi Media Bersama SPRM 2019 di Hotel Zenith. Turut hadir Pengarang Kumpulan Berita Harian, Khaidir A Majid dan Pegarang Berita Kanan Harian Metro, Yusri Malek. - Foto Luqman Hakim Zubir

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Ja’afar Mahad.

Turut hadir, Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid, serta pengurusan kanan dan pemimpin pertubuhan dan agensi media tempatan.

Latheefa berkata, media harus melaporkan secara bertanggungjawab setiap isu rasuah, menjelaskan kepada umum maklumat sebenar sehingga masyarakat membenci dan jijik dengan rasuah.

“Media juga perlu membantu SPRM dalam menjayakan siasatan dengan tidak melaporkan sesuatu kes masih dalam siasatan sehingga boleh menjejaskan siasatan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X