Jumaat, 1 November 2019 | 9:34pm

Media Prima umumkan pelaksanaan transformasi model perniagaan

KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad (Media Prima) mengumumkan pelaksanaan transformasi merangkumi perubahan model perniagaan dan penstrukturan semula dalaman.

Peneraju media bersepadu itu dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan, transformasi terbabit bagi membolehkan Media Prima lebih berdaya saing dan mapan di masa hadapan berikutan suasana makro ekonomi tidak menentu dan gangguan perubahan landskap media global.

“Kumpulan akan memastikan kesemua warga kerja yang terjejas ekoran daripada usaha transformasi ini menerima pakej pampasan yang adil dan saksama ditetapkan oleh undang-udang serta kesatuan masing-masing yang akan dibayar secara penuh selepas mereka menunaikan segala keperluan perundangan.

“Media Prima juga akan menyediakan khidmat sokongan kepada warga kerja termasuk perkhidmatan penempatan keluar dan kaunseling kerjaya. Pelaksanaan penstrukturan ini dijangka selesai pada suku pertama 2020,” katanya.

Menurut kenyataan itu, landskap media global terus berubah pada kadar dan skala yang pantas menyebabkan syarikat media mengkaji semula serta mengubah model perniagaannya untuk kekal mapan dan berjaya.

“Melangkah ke hadapan, Media Prima yang sinonim dengan jenama media dan kandungan popular tanah air akan terus memberi fokus dalam membawa nilai kepada para warga kerja, pelanggan, pemegang saham dan pihak berkepentingan,” katanya.

Berita Harian X