Khamis, 31 Oktober 2019 | 8:09pm
Penyampai radio THR Gegar, Shah Muhammad atau nama sebenarnya Mohd Saharani Muhammad, 33 menunjukkan gambar kenangan anaknya, Muhammad Aliff Khalifah berusia 4 hari yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung kiri di Taman Marida, Senawang, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Bayi 'hidup kali kedua' tinggal kenangan keluarga DJ radio

SEREMBAN: “Peluang ‘hidup’ kali kedua yang diberikan oleh Allah SWT supaya ahli keluarga dapat menatap wajahnya buat kali terakhir sudah cukup membahagiakan saya.

“Walaupun hanya dipinjamkan seketika tetapi saya tetap bersyukur,” kata penyampai radio THR Gegar, Shah Muhammad, mengenai bayinya yang meninggal dunia selepas empat hari dilahirkan.

Shah atau nama sebenarnya Mohd Saharani Muhammad, 33, berkata keajaiban berlaku kepada bayinya itu apabila disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5 petang semalam tetapi dikesan kembali bernyawa 10 minit kemudian.

Bagaimanapun, katanya, hayat anaknya tidak bertahan lama apabila disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi tadi di rumah keluarga isteri di Taman Marida, Senawang di sini, akibat komplikasi jantung kiri.

Katanya, anak ketiga yang diberi nama Muhammad Aliff Khalifah dilahirkan pada Ahad lalu dan dikesan menghidap penyakit berkenaan selepas dua hari dilahirkan.

“Anak saya dilahirkan normal dan doktor beritahu tiada sebarang masalah kesihatan walaupun dia lahir tiga minggu lebih awal daripada jangkaan. Isteri dan anak dibenarkan pulang keesokannya.

“Namun pada Selasa, dia secara tiba-tiba sukar bernafas menyebabkan saya segera bawanya ke hospital swasta di Senawang sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

“Doktor beritahu anak saya kritikal lalu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dan perlu bergantung dengan mesin bantuan pernafasan,” katanya ketika ditemui di rumah mentuanya di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, Shah berkata, anaknya disahkan mengalami komplikasi jantung kiri menyebabkan tidak dapat hidup lama dan hanya bergantung dengan mesin bantuan pernafasan untuk bernyawa.

“Saya tidak sanggup melihat keadaan anak yang dipenuhi wayar jadi saya dan isteri buat keputusan untuk membenarkan mesin dicabut. Belum sempat mesin dicabut tahap oksigennya menurun dan anak berhenti bernafas, tetapi kuasa Allah dia secara tiba-tiba bernafas semula.

“Namun doktor beritahu hayatnya tidak lama dan kami diberi pilihan untuk meletakkan anak di NICU bagi pemantauan rapi atau bawanya pulang. Kami dan isteri sepakat untuk bawanya pulang bagi memberi peluang kepada keluarga menatap wajahnya buat kali terakhir,” katanya.

Katanya, beliau reda dengan ketentuan Ilahi dan berterima kasih kepada semua rakan yang sentiasa mendoakan kesihatan anaknya sebelum ini.

Jenazah Muhammad Aliff Khalifah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Forest Heights, di sini, jam 11 pagi tadi.

Berita Harian X