Khamis, 31 Oktober 2019 | 7:57pm
Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel.
Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel.

Isu semasa serantau, antarabangsa tumpuan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35

BANGKOK: Isu keselamatan seperti jenayah rentas sempadan, perang perdagangan Amerika Syarikat - China dan usaha pengukuhan kerjasama negara anggota dijangka menjadi topik utama Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35 bermula Sabtu ini.

Bertemakan Memperkukuh Kerjasama Bagi Kemampanan (Advancing Partnership for Sustainability), 10 ketua kerajaan negara anggota ASEAN pasti menggunakan platform sidang kemuncak kali ini untuk mengenalpasti pendekatan terbaik yang mampu membawa lebih banyak kemajuan dan kemakmuran serantau.

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel, berkata persidangan kali ini yang juga terakhir dipengerusikan Thailand akan turut menilai semula agenda Komuniti ASEAN dan Perakuan ASEAN 2025 - Melangkah Ke Hadapan Bersama (Visi ASEAN 2025).

Katanya, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai delegasi negara kali ini, malah turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Prayuth Chan-ocha dan Scott Morrison dari Australia.

“Pertemuan Dr Mahathir dan Prayuth dijangka membincangkan isu kesan kenaikan mata wang Baht, selain isu keselamatan, peluang perdagangan dan pelancongan Malaysia - Thailand. Sudah pasti kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala antara kedua-dua negara, selain isu serantau dan global.

“Dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35 bermula Sabtu ini, Perdana Menteri dan pemimpin negara anggota ASEAN lain dijangka turut membincangka agenda kestabilan ekonomi serantau yang turut mencangkupi aspek politik dan keselamatan di wilayah ini,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Selain Malaysia, turut menganggotai ASEAN ialah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Jojie berkata, sebanyak 43 dokumen akan diambilmaklum, seterusnya diperakukan sepanjang sidang kemuncak itu berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Impact, kira-kira 30 kilometer dari Bandaraya Bangkok.

Beliau menjelaskan daripada jumlah keseluruhan itu, 13 dokumen hasil perbincangan antara rakan ASEAN akan dikeluarkan, 14 dokumen untuk diperakukan, manakala 16 dokumen bagi proses ambilmaklum.

Dr Mahathir akan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking.

Keseluruhannya, Perdana Menteri akan menghadiri 17 sesi sepanjang tiga hari sidang kemuncak itu berlangsung, termasuk majlis pembukaan rasminya yang dijadualkan pada Ahad ini, selain

Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2019 (ABIS), Pameran Komuniti ASEAN, Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35 dan Sidang Kemuncak ASEAN - China Ke-22.

Dr Mahathir juga dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN - India Ke-16; Sidang Kemuncak ASEAN - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-10; Sidang Kemuncak ASEAN + 3 Ke-22; Sidang Kemuncak ASEAN - Amerika Syarikat Ke-7 dan Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) Ke-3.

Jojie berkata, isu kenaikan mata wang baht yang turut mempengaruhi aktiviti pelaburan dan perdagangan serantau, khususnya antara Malaysia dan Thailand, dijangka turut mencuri perhatian.

“Memang ada kesan penyusutan kepada nilai perdagangan antara Januari hingga Ogos lalu. Namun, bilangan pelancong Malaysia ke Thailand tiada nampak perubahan ketara,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X