Rabu, 30 Oktober 2019 | 6:51pm
ANTARA kakitangan Utusan Malaysia yang hadir pada Sesi taklimat oleh Penasihat UHY untuk kakitangan Utusan yang diadakan di Dewan Besar Utusan, Utusan Malaysia, Jalan Chan Sow Lin. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

NUJ Utusan bimbang bekas kakitangan tak dapat pampasan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) cawangan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd melahirkan kebimbangan berhubung status tunggakan gaji dan pampasan berikutan pemberhentian operasi syarikat itu.

Presidennya, Taufek Razak, berkata pelikuidasi interim yang dilantik, UHY Advisory (KL) Sdn Bhd memaklumkan jumlah hutang ditanggung syarikat terbabit melebihi nilai aset yang dimiliki.

“Kami bimbang dengan maklumat terbaharu ini kerana tunggakan gaji dan pampasan itu penting demi kelangsungan bekas kakitangan. Kami dimaklumkan jumlah hutang syarikat adalah RM400 juta manakala nilai aset dianggarkan sekitar RM350 juta.

“Jika perkara ini benar, kami mungkin tidak mendapat langsung pampasan. Justeru, NUJ akan melantik peguam bagi memantau proses likuidasi aset bagi memastikan kami mendapat tunggakan gaji dan pampasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi taklimat bersama bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd bersama UHY Advisory (KL) Sdn Bhd di ibu pejabat akhbar itu di sini, hari ini.

Taufek menjelaskan, sesi taklimat itu tidak memberi sebarang kata putus berhubung nasib bekas kakitangan sebaliknya penerangan berhubung akta syarikat.

“UHY Advisory (KL) Sdn Bhd hanya pelikuidasi interim dan pada 6 November ini, kami akan mengadakan undian sama ada mengekalkan mereka atau melantik pelikuidasi baharu,” katanya.

Pengerusi Eksekutif Utusan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir pada 9 Oktober lalu mengeluarkan memorandum yang menyebut syarikat berkenaan akan dihentikan operasi pada tarikh berkenaan manakala hari terakhir perkhidmatan kepada pekerja ialah keesokannya.

Berita Harian X