Ahad, 27 Oktober 2019 | 8:32pm
Pakar ekonomi pertanian dan sumber, Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin. - NSTP/Rosela Ismail
Pakar ekonomi pertanian dan sumber, Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin. - NSTP/Rosela Ismail

Ladang sayur, buah akan kurangkan import negara dalam 2 tahun

KUALA LUMPUR: Pelaburan swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam penanaman sayur-sayuran secara besar-besaran, dijangka dapat mengurangkan dengan ketara import makanan negara dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Pakar ekonomi pertanian dan sumber, Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin, berkata pelaburan dalam sektor sayur-sayuran akan memberi pulangan paling pantas untuk mengurangkan bil import makanan yang mencecah RM60 bilion ketika ini.

Sehubungan itu, katanya, syarikat swasta atau syarikat milik kerajaan digalak memulakan pelaburan dalam penanaman sayur-sayuran, disusuli buah-buahan serta sektor lain seperti tenusu atau ruminan jika mahu mengurangkan bil import makanan negara.

Ketika ini, kadar sara diri bagi sayur-sayuran hanya 60 peratus, baki 40 peratus diimport. Dengan pelaburan serius serta penggunaan teknologi, kita mampu capai 100 peratus, bererti tidak perlu lagi mengimport sayuran daripada luar.

“Pelaburan ini perlu dimulakan syarikat milik kerajaan, khususnya negeri dan pastikan ia berjaya untuk menarik minat lebih banyak pelaburan swasta,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir semalam, yang menggalakkan syarikat swasta dan syarikat milik kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd membuat pelaburan dalam penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran secara besar-besaran bagi mengurangkan bil import makanan yang mencecah RM60 bilion.

Pensyarah kanan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menjelaskan, pelaburan dalam penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan, mampu menjana pulangan yang sama atau lebih tinggi daripada hasil sawit dan getah ketika ini dalam jangka masa panjang.

“Pelaburan dalam sektor ini akan berjaya jika mendapat sokongan kuat daripada kerajaan menerusi insentif tertentu dan penggunaan teknologi terkini.

“Ia juga perlukan aspek keusahawanan, iaitu tanaman diusahakan petani lulusan universiti dalam bidang berkaitan pertanian yang boleh menggunakan sistem teknologi pertanian seperti persekitaran terkawal, sensor, dron dan sebagainya,” katanya.

Penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan secara besar-besaran tidak lagi memerlukan tanah yang luas, sebaliknya boleh diusahakan dalam kawasan kecil menggunakan teknik ‘vertical farming’ atau tanaman bertingkat.

Kaedah ini juga tidak memerlukan ia diusahakan di kawasan kampung semata-mata, sebaliknya boleh dilaksanakan di pinggir bandar, sekali gus mengurangkan kos penghantaran dan harga jualan sayur.

Pelaburan dalam penanaman sayuran dan buah-buahan juga mampu menyumbang kepada penyelesaian isu sekuriti makanan yang menghimpit kebanyakan negara.

Pelaburan dalam sektor makanan ini bukan saja dilihat pada keuntungan persendirian, tapi juga keuntungan sosial, di mana pulangannya adalah keamanan negara daripada segi sekuriti makanan.

Sekuriti makanan penting kerana jika berlaku krisis, negara akan kucar-kacir jika bekalan makanan negara hanya cukup hanya cukup untuk tempoh tiga hari.

Berita Harian X