Ahad, 27 Oktober 2019 | 12:05am
Menteri Kerja Raya, Baru Bian. - NSTP/Imran Makhzan
Menteri Kerja Raya, Baru Bian. - NSTP/Imran Makhzan

Pendirian Baru mengenai tanah hak adat tidak pernah berubah

BETONG: Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, menafikan dakwaan di media sosial yang beliau bersetuju dengan tindakan kerajaan Sarawak menyukat tanah hak adat (NCR) Bumiputera di negeri ini mengikut Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.

Katanya, beliau tetap dengan pendiriannya sejak dahulu lagi yang mahukan tanah NCR di Sarawak disukat mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak kerana lebih adil kepada pemiliknya.

Beliau berkata, penyukatan tanah mengikut Seksyen 18 itu memberi kelebihan kepada pemilik yang mana mereka tidak perlu membayar fi dan surat hak milik tanah dikeluarkan kepada individu serta tempoh pemilikan yang tiada had.

“Saya ingin menyatakan ini tidak betul, pendirian saya dari dulu sampai sekarang, kalau tidak ada pindaan baharu Kanun Tanah Sarawak, saya tidak setuju sehingga penyukatan tanah adat di Sarawak diteruskan mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

“Dalam ucapan saya pada persidangan DUN Sarawak akan datang, saya akan memperjelaskan lagi perkara ini,” katanya yang juga ADUN Ba’kelalan ketika berucap pada perasmian Program Jaya Desa Debak di Dewan SJKC Chung Hua Debak, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau dan Menteri Kerja Raya berkata, Betong yang terkenal dengan tanaman seperti getah, lada hitam dan kelapa sawit masih menghadapi masalah infrastruktur jalan raya yang belum sempurna untuk mengangkut hasil tanaman dan memasarkannya ke luar.

Sehubungan itu, katanya, rakyat negeri ini perlu bersabar dengan keadaan jalan raya sekarang kerana projek lebuh raya Pan Borneo masih dalam pembinaan.

“Saya yakin perkara ini akan bertambah baik dengan siapnya jajaran Pan Borneo Sarawak dan Sarawak-Sabah Link Road kelak yang menjanjikan infrastruktur lebih baik untuk rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya telah memberi peringatan kepada kontraktor yang terbabit dalam pembinaan Pan Borneo di Sarawak supaya melaksanakan tanggungjawab mereka sebaik mungkin.-– BERNAMA

Berita Harian X