Sabtu, 26 Oktober 2019 | 11:52pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Kerajaan mahu syarikat swasta terbabit dalam penanaman sayur secara besar-besaran

BAKU, AZERBAIJAN: Kerajaan menggalakkan syarikat-syarikat swasta dan syarikat milik kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd membuat pelaburan dalam penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran secara besar-besaran untuk mengurangkan bil import makanan yang mencecah RM60 bilion.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pada masa ini syarikat-syarikat besar hanya mengusahakan kelapa sawit dan getah secara besar-besaran dan terdedah kepada harga pasaran yang tidak menentu sedangkan potensi untuk penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan amat besar.

“Hari ini saya lawat Greentech Farm yang menekankan pertanian moden, mampu keluarkan banyak jenis ​​​​​​​sayuran seperti tomato, terung, cili yang dieksport ke Russia dan mendapat pulangan baik,” katanya ​​​​​​​pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Pada pagi Sabtu, Dr Mahathir, yang berada di sini untuk menghadiri Sidang ​​​​​​​Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18, melawat Green Tech Farm milik Azersun Holding seluas 35 hektar yang menggunakan teknologi canggih dalam penghasilan sayur-sayuran organik seperti tomato, terung, ​​​​​​​timun dan cili.

Ditanya sama ada kerajaan akan menggalakkan Khazanah Nasional membuat pelaburan dalam sektor penanaman sayur-sayuran dan tidak hanya menumpukan kepada pelaburan di luar negara, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak ada halangan jika Khazanah ​​​​​​​mahu berbuat demikian.

“Khazanah boleh jika perlu, tetapi bukan hanya kerajaan, pihak swasta juga perlu menceburi bidang ini. Dulu Khazanah (membuat pelaburan di luar negara) kerana iklim pelaburan dalam negara tidak begitu baik dan pemerintah dulu ​​​​​​​tidak beri galakan,” tambah beliau.

Dr Mahathir berkata, pembabitan syarikat-syarikat swasta digalakkan kerana pelaburan besar diperlukan jika mahu mengikut contoh Green Tech Farm dan pelaburan besar-besaran di Malaysia kini terikat ​​​​​​​kepada penanaman kelapa sawit dan getah sahaja.

Mengenai kekecewaan beliau dengan graduan yang mahir dalam bidang pertanian tetapi hanya mahu bekerja dengan ​​​​​​​kerajaan, Dr Mahathir berkata sikap itu perlu diubah.

“Saya ada lawat ladang Universiti Putra Malaysia, dulu Universiti Pertanian Malaysia. Tanam-tanaman di sana ​​​​​​​cukup baik, teratur dan hasilnya baik. Bagaimanapun, di luar ‘experiment’, graduan tidak mahu terbabit (dalam penanaman) tapi ​​​​​​​mahu kerja dengan kerajaan dan di pejabat,” katanya.

Dr Mahathir berkata kemahiran yang dipelajari mereka tidak digunakan sepenuhnya dan ini tidak membantu pertumbuhan ekonomi negara.-– BERNAMA

Berita Harian X