Jumaat, 25 Oktober 2019 | 10:13am
KETUA Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh
KETUA Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh

Isu mahasiswa hidup 'sesak': MAIWP jumpa wakil UA

PUTRAJAYA: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengadakan pertemuan dengan wakil enam universiti awam (UA) di Kuala Lumpur bagi membincangkan isu mahasiswa miskin di Lembah Klang, susulan laporan BH sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh, berkata pertemuan itu susulan hasrat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pada Selasa lalu yang mahu majlis itu meneliti isu mahasiswa berdepan masalah kesempitan hidup di kawasan seliaannya.

“Perbincangan diadakan dengan pegawai Hal Ehwal Pelajar dan wakil Majlis Persatuan Pelajar Universiti Malaya; Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur; Universiti Pertahanan Nasional Malaysia; Universiti Teknologi MARA Kuala Lumpur; Universiti Kebangsaan Malaysia Kuala Lumpur dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.

“Pertemuan langsung dengan pentadbir dan pelajar membolehkan MAIWP mendapatkan maklumat dan gambaran sebenar.

“Selain itu, beberapa cadangan akan diperhalusi bagi menyantuni mahasiswa miskin dan memastikan mereka mendapat pendidikan berkualiti, selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030.

“Secara umumnya, beberapa keperluan pelajar yang perlu difokuskan adalah makanan, tempat tinggal dan beberapa perkara lain seperti komputer riba selain bantuan kepada pelajar orang kurang upaya (OKU),” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di laman Facebook, semalam.

Abdul Aziz berkata, penerangan ringkas mengenai program bantuan zakat yang dilaksanakan MAIWP turut dikongsi dalam pertemuan itu seperti Bantuan Am Pelajaran Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Biasiswa Baitulmal yang kini sudah membantu kira-kira 5,000 mahasiswa.

BH dalam laporan muka depannya sebelum ini mendedahkan mengenai mahasiswa yang terpaksa bergelut membayar kadar sewa rumah mahal, mencecah RM1,500 sebulan bagi rumah kos rendah di ibu negara, sehingga memaksa mereka menetap seperti warga asing atau menjalani kehidupan seharian ala nomad.

Lebih membebankan, jika tiada pilihan, mereka terpaksa menyewa rumah yang mencecah RM3,000 sebulan, dengan berkongsi tinggal sehingga 20 orang.

Berdasarkan tinjauan BH, rumah pangsa di sekitar bandar raya disewakan pada harga antara RM1,000 hingga RM1,500, manakala deposit pula membabitkan bayaran dua tambah satu, termasuk utiliti pada kadar RM300 hingga RM500.

Berita Harian X