Khamis, 24 Oktober 2019 | 8:32pm

Isu gaji jurutera tempatan statik: Warga asing guna permit pekerja biasa

KUALA LUMPUR: Majikan dalam sektor tertentu dikesan mengaburi pihak berkuasa dengan membawa masuk jurutera asing menggunakan permit pekerja biasa bagi mengurangkan kos gaji.

Muslihat majikan berkenaan dipercayai antara punca gaji jurutera tempatan statik sejak lebih 20 tahun lalu kerana ‘jurutera’ warga asing sanggup bekerja dengan gaji dan faedah yang rendah.

Ia berlaku sejak beberapa tahun lalu, terutama dalam sektor pembinaan dan pembuatan yang biasanya menggunakan tenaga jurutera yang ramai.

Sumber mendedahkan, jurutera asing berkenaan dibawa masuk ke Malaysia bukan sebagai jurutera, sebaliknya sebagai pekerja industri biasa dan mereka tidak perlu berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM).

Walaupun digaji sebagai pekerja biasa, namun warga asing berkenaan akan melaksanakan tugas penyelia, pengurus tapak projek atau pembantu teknikal.

“Hakikatnya, tugasan sebenar mereka adalah jurutera yang mengurus dan membuat keputusan kritikal berkaitan proses pembinaan dan perundingan perindustrian.

“Sebagai contoh dalam industri binaan, mereka ini akan menguruskan perkara-perkara berkaitan keselamatan projek dan penyelesaian masalah di tapak pembinaan,” kata sumber itu.

Jurutera asing yang dibawa masuk mempunyai kelulusan dan kemahiran hampir setara dengan graduan tempatan, tetapi sanggup berkhidmat dengan gaji dan faedah lebih rendah.

BH semalam melaporkan, kadar gaji jurutera tempatan tidak berubah sejak 20 tahun lalu, meskipun negara mencapai tahap kemajuan dan pembangunan yang membanggakan disebabkan tindakan majikan mengambil jurutera asing yang sanggup menerima gaji lebih rendah.


Keratan akhbar BH semalam.

Difahamkan, ketika ini graduan baharu kejuruteraan hanya menerima bayaran kurang RM2,500 sebulan, bukan gaji lumayan seperti dipercayai masyarakat.

Kadar gaji itu pula hanya ditawarkan di bandar besar seperti di Lembah Klang, di mana permintaan pasaran adalah tinggi, manakala kadar gaji di kawasan bukan bandar besar adalah lebih rendah.

Mengikut data LJM, hanya lima jurutera profesional dengan perakuan amalan dari luar negara berdaftar dengan lembaga itu.

Bilangan jurutera siswazah warga asing yang berdaftar pula adalah 1,129 orang, manakala ahli teknologi kejuruteraan luar (180 orang) dan pemeriksa tapak asing (lapan orang).

Mengulas perkara itu, Setiausaha LJM, Ir Mejar Suhaizad Sulaiman, berkata jurutera asing yang tidak berdaftar dengan agensi itu, tidak boleh berkhidmat sebagai jurutera di negara ini.

Katanya, jika mereka berkhidmat juga ia adalah satu kesalahan mengikut undang-undang dan boleh dipenjara tiga tahun atau denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan mengikut Akta Pendaftar Jurutera 1967 (Pindaan 2015).

“Undang-undang negara berhubung perkhidmatan jurutera adalah ketat walaupun dia adalah warga tempatan kerana pekerjaan ini berkaitan dengan risiko dan keselamatan. Warga asing pula tidak boleh sewenang-wenangnya berkhidmat sebagai jurutera,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Mejar Suhaizad berkata, LJM tidak menolak kemungkinan ada majikan yang tidak mematuhi peraturan pengambilan jurutera asing seperti yang ditetapkan.

Katanya, perkara ini adalah serius kerana khidmat jurutera berkait rapat dengan keselamatan awam dan jika jurutera tidak bertauliah diambil, maka risiko kemalangan adalah tinggi.

“LJM amat menanti laporan dan walaupun pihak kami tidak mempunyai kuasa melakukan tindakan, laporan polis untuk tindakan lebih keras akan dilakukan kerana perkara itu amat menyalahi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga LJM, Ir Megat Johari Megat Mohd Noor, berkata tindakan industri mengambil jurutera asing sukar diterima kerana Malaysia menghasilkan ramai jurutera dan pakar setanding luar negara.

“Apakah benar jurutera luar diambil itu mempunyai kelulusan akademik atau kepakaran yang sah kerana hari ini pun kita sering mendengar sijil, ijazah atau kedoktoran palsu,” katanya.

Megat Johari berkata, situasi ini akan menjejaskan peluang graduan kejuruteraan tempatan mendapat pekerja dan meraih pengalaman kerana pihak industri juga tidak berminat untuk mengembangkan bakat mereka.

“Gaji jurutera tempatan tidak akan meningkat dan mereka juga terpaksa bersaing dengan jurutera luar yang dibawa masuk secara tidak sah,” katanya.

Berita Harian X