Khamis, 24 Oktober 2019 | 4:56pm

Kerajaan tawar RM1,000 satu kaki persegi tanah Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini membuat tawaran baharu kepada penduduk Kampung Baru di sini, untuk membeli tanah yang terbabit dalam pembangunan semula di kawasan berkenaan pada harga RM1,000 satu kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.

Bersandarkan harga baharu itu, RM850 secara pulangan tunai, manakala baki RM150 berbentuk pulangan dalam pegangan saham.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata pulangan dalam bentuk pegangan saham dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang bakal ditubuhkan kelak di mana perinciannya akan diperhalusi agensi berkaitan.

“Saya berkesempatan untuk berbincang perkara ini bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan sudah melaporkan segala input dan kehendak yang diperoleh pada sesi townhall terdahulu.

“Hasil perbincangan itu, sukacita ingin dimaklumkan bahawa kerajaan menawarkan tanah di Kampung Baru yang terbabit dalam pembangunan semula dibeli pada harga RM1,000 satu kaki persegi.


Khalid (kiri) dan Nor Hisham melihat contoh model pembangunan Kampung Baharu ketika sesi sidang media khas ‘Tawaran Baru Kerajaan Mengenai Cadangan Pembangunan Semula Kampung Baharu’ di Lobi Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

“Daripada harga RM1,000 satu kaki persegi itu, RM850 akan dibayar berdasarkan pilihan pulangan yang telah dipilih oleh pemilik tanah, manakala baki RM150 pulangannya adalah dalam bentuk pegangan saham dalam SPV yang akan ditubuhkan kelak.

“Perincian saham akan diperhalusi oleh agensi berkaitan dan akan dimuktamadkan sebelum perjanjian ditandatangani kelak,” katanya pada sidang media khas di lobi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Kampung Baru (PKB), Tan Sri Ambrin Buang dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Ahmad Dahlan.

Selain pakej baharu bernilai RM1,000 satu kaki persegi, Khalid turut mengemukakan tambahan tawaran lain iaitu potongan harga berjumlah 15 peratus bagi pemilik tanah yang memilih untuk membeli harta tanah dalam pembangunan yang akan dilaksanakan kelak.

Beliau memberi contoh, harga rumah Residensi Wilayah yang dibangunkan di Kampung Baru akan dijual kepada pemilik tanah pada harga RM255,000 seunit membabitkan keluasan lantai 900 kaki persegi berbanding harga asal iaitu RM300,000 seunit.

Katanya, tawaran baharu ini bagi menggalakkan penduduk Kampung Baru memilih untuk terus menetap termasuk mempunyai pegangan di atas tanah mereka.

“Sehubungan itu, kerajaan ingin menyeru semua pemilik tanah Kampung Baru yang terbabit dalam rancangan pembangunan semula ini untuk mengemukakan borang maklum balas mengenai persetujuan pembangunan semula kawasan ini.

“Keperluan mengembalikan borang maklum balas persetujuan ini adalah hanya untuk pemilik yang belum mengemukakan borang berkenaan kepada PKB selepas sesi townhall pada September lalu.

“Mereka yang serahkan borang tanda setuju tidak perlu hantar permohonan sekali lagi. Bagi pemilik yang sudah mengemukakan borang sebelum ini, tetapi telah menyatakan tidak bersetuju dengan tawaran (terdahulu) pada ketika itu, mereka juga dipohon untuk mempertimbangkan semula tawaran baharu ini dan mengembalikan borang itu kepada PKB,” katanya.

Khalid mengingatkan penduduk Kampung Baru supaya mengemukakan maklum balas dalam tempoh tiga minggu bermula hari ini.

Tarikh terakhir untuk mengemukakan borang maklum balas adalah pada 30 November depan.

“Bagi pemilik tanah yang ingin mendapatkan maklumat terperinci, anda boleh berhubung terus dengan pihak PKB.

“Bagi pemilik yang memberikan persetujuan ini, saya seru supaya bersama-sama membantu mengenalpasti dan jika boleh berusaha mendapatkan persetujuan daripada semua pihak bersama dalam lot masing-masing yang belum kemuka borang maklum balas,” katanya.

Kerajaan hari ini membuat tawaran baharu kepada penduduk Kampung Baru pada harga RM1,000 satu kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X