Khamis, 24 Oktober 2019 | 12:49pm
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sidang Dewan Rakyat pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Eizairi Shamsudin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sidang Dewan Rakyat pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Eizairi Shamsudin

Malaysia mahu terbabit tentukan status pelarian

KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu turut terbabit dalam menentukan taraf pelarian bagi golongan itu yang berada di negara ini yang selama ini hanya ditentukan oleh Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Justeru, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan dalam rundingan dengan UNHCR supaya agensi kerajaan turut terbabit dalam proses penentuan seseorang warga asing yang digelar pelarian.

Perkara ini bertujuan menentusahkan status pelarian yang diberikan kepada seseorang, selain memastikan kepentingan negara khususnya dari aspek keselamatan diberikan keutamaan.

Muhyiddin turut menegaskan mengenai kepentingan pelaksanaan strategi itu secara kerjasama bersama UNHCR dalam pertemuan bersama Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Filippo Grandi di Geneva, Switzerland pada 8 Oktober lalu.

“Selain itu, bagi menjamin kerangka dasar berkaitan pengurusan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memegang kad UNHCR dan pemohon suaka yang lebih komprehensif, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang menambah baik dan memperkemas Arahan No 23 sebagai garis panduan kepada kementerian dan agensi kerajaan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PH-Hulu Terengganu) yang bertanya mengenai jumlah pelarian yang berada di Malaysia pada masa ini mengikut negara asal dan apakah langkah yang dilaksanakan kerajaan untuk memastikan mereka benar-benar berstatus pelarian dan menjamin keberadaan mereka tidak mengancam keselamatan negara.

Muhyiddin memaklumkan, sehingga 30 September lalu, sebanyak 177,943 PATI pemegang kad UNHCR direkodkan di negara ini dari 57 negara, dengan jumlah tertinggi adalah dari Myanmar iaitu seramai 153,591 orang, Pakistan (6,495 orang) dan Yaman (3,568 orang).

Bagi memastikan keselamatan negara tidak dikompromi, kementerian melalui Jabatan Imigresen sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap PATI di negara ini termasuk yang memegang kad UNHCR.

“Mulai 1 Januari sehingga 21 Oktober lalu, sebanyak 14,482 operasi dilaksanakan membabitkan pemeriksaan ke atas 169,760 warganegara asing,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Rosol sama ada Malaysia mendapat kerjasama agensi antarabangsa untuk menempatkan pelarian di Malaysia ke negara ketiga dan jumlah pelarian yang terbabit, Muhyiddin memaklumkan, dari 1 Januari sehingga 30 September lalu, seramai 2,318 PATI pemegang kad UNHCR ditempatkan di negara ketiga.

“Antara negara ketiga yang dikenal pasti UNHCR adalah Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Finland, Perancis, Jepun, Korea, New Zealand, Norway, Sweden dan United Kingdom,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mengenai jaminan kementerian bahawa anak pelarian yang lahir di negara ini tidak mendapat sijil kelahiran dan MyKad, Muhyiddin berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan UNHCR supaya kad baharu UNHCR boleh dikeluarkan untuk kanak-kanak itu.

“Bagaimanapun, adalah penting untuk (kelahiran) direkodkan supaya kita tahu di mana mereka dan apa mereka lakukan, selain isu seperti persekolahan dan kesihatan mereka,” katanya.

Berita Harian X