Rabu, 23 Oktober 2019 | 4:59pm
PENGARAH PERKESO negeri, Fadhilah Hamil (kiri) menyerahkan borang PERKESO kepada Munira Bidin (dua dari kiri) ketika ditemui di rumah ibunya di Rumah Pangsa Pegaga, Batu Berendam, Melaka, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad
PENGARAH PERKESO negeri, Fadhilah Hamil (kiri) menyerahkan borang PERKESO kepada Munira Bidin (dua dari kiri) ketika ditemui di rumah ibunya di Rumah Pangsa Pegaga, Batu Berendam, Melaka, hari ini. - Foto Rasul Azli Samad

'Wang diterima akan digunakan untuk pendidikan anak arwah'

MELAKA: “Alhamdulillah, wang diterima ini akan dibahagikan sepenuhnya bagi kegunaan pendidikan ketiga-tiga anak arwah adik, selain mungkin melakukan badal haji untuk arwah adik dan anak saudara.”

Demikian perancangan dikongsikan Munira Bidin, 29, kakak kepada Nurfazera Bidin, 27, yang dibunuh bersama anak, Muhammad Iman Asraf Abdullah, 11, sebelum mayat mereka yang dikerat ditemui di Kampung Ladang, Krubong, di sini, 10 Oktober lalu.

“Segala sumbangan serta faedah Pencen Penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang diterima akan kami kumpul dan simpan untuk keperluan pendidikan tiga lagi anak arwah adik berusia dua, tujuh dan sembilan tahun.

“Selebihnya, mungkin akan diguna untuk melaksanakan badal haji buat arwah Baby (Norfazera) dan Abang Iman (Muhammad Iman Asraf ,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Rumah Pangsa Pegaga, Batu Berendam, di sini, hari ini.

Terdahulu, Munira bersama ibu, Fatimah Latiff, 60, dan kakaknya, Norhafizah, 33, menerima kunjungan Pengarah PERKESO negeri, Fadhilah Hamil, yang memaklumkan arwah Norfazera layak menerima faedah PERKESO.

Berkongsi lanjut, Munira yang baru melangsungkan perkahwinan, Ahad lalu, memaklumkan bahawa beliau dan suami, Mohd Abdullah Jan Abd Rahman, 30, turut bersetuju mengambil anak bongsu adiknya, Muhammad Fakhrul Izwan Mohd Azri, 2, sebagai anak angkat mereka.

“Sejak kecil, Muhammad Fakhrul Izwan memang rapat dengan saya. Alhamdulillah, bekas suami arwah adik juga sudah memberikan kebenaran.

“Saya akan melalui semua proses dan prosedur mengambil anak angkat mengikut undang-undang, malah menganggap Jebat (Muhammad Fakhrul Izwan) sebagai anugerah tidak ternilai sempena perkahwinan kami,” katanya sambil menahan sebak.

Sementara itu, Fadhilah berkata, sebagai pencarum PERKESO, waris Norfazera layak menerima pencen penakat sehingga semua anak arwah mencapai usia 21 tahun, selain Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000.

“Semakan mendapati arwah mencarum sejak bekerja pada 2009. Jumlah carumannya mencukupi untuk layak memperoleh faedah Pencen Penakat,” katanya.

Polis sebelum ini mengesahkan lapan bahagian anggota badan manusia yang dikerat dan ditemui di Kampung Ladang itu, adalah milik dua beranak terbabit berdasarkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Selasa lalu, jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Bertam-Malim, pada tengah malam.

Susulan kejadian itu, seorang lelaki warga Singapura direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Berita Harian X